Abdul Rahim menunjukkan beras tulen (kiri) dan plastik yang dimasak selepas membuat ujian awal.

Ipoh: Ujian awal yang dilakukan terhadap beras Cap Rambutan oleh Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) termasuk di kilang pemborong beras jenama berkenaan, di sini, mendapati tiada mengandungi unsur bendasing seperti plastik seperti yang tular di media sosial.

Pengarah Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras, MOA Perak, Abdul Rahim Rashid, berkata bagaimanapun laporan rasmi daripada sampel daripada beras Super Special Tempatan 5% di OEL Distribution (Perak) Sdn Bhd, di sini, hanya akan diperolehi dalam tempoh seminggu.

Katanya, operasi pemeriksaan di semua tujuh cawangan syarikat pemborong berkenaan susulan video yang tular di media sosial mengatakan beras berkenaan mengandungi plastik.

“Seperti ujian yang dilakukan di Kedah dan Johor, sampel beras diambil daripada kilang pemborong, di sini.

“Pemerhatian kami mendapati syarikat pemborong ini juga tidak mempunyai mesin memproses beras plastik seperti yang tular, sebaliknya mesin yang ada hanya bagi mencuci dan memproses beras yang diperoleh daripada kilang untuk dikampit dan dipasarkan,” katanya ketika ditemui selepas membuat pemeriksaan di kilang syarikat berkenaan di Jalan Kuala Kangsar, di sini, semalam.

Menurutnya, pihaknya menjalankan pemeriksaan membabitkan kerja pemprosesan beras selain menjalankan beberapa ujian tekstur dan ujian iodin serta mengumpal nasi seperti apa yang dilakukan dan dirakam pengguna media sosial yang menjadi tular.

“Di media sosial sukar untuk kita memastikan dakwaan yang dibuat, jadi kita meminta mereka yang mempunyai bukti membawa sendiri bahan berkenaan untuk diuji dan dianalisis pihak kami,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 6:49 AM