KERATAN foto ini dipetik daripada rakaman CCTV yang dikatakan viral sejak 12 Mei.
Kalidevi Mogan Kumarappa
kalidevi@hmetro.com.my


SKUAD khas akan menyiasat dan mengenal pasti lokasi pusat judi yang didakwa berlakunya samun dan rogol di Puchong Kinrara, seperti yang tersebar di media sosial, sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Megat Mohamad Aminuddin Megat Alias, berkata pihaknya mengesan penyebaran rakaman CCTV berkaitan kes itu di media sosial.

Bagaimanapun, katanya, sehingga ini, belum ada pihak yang membuat laporan polis.

"Selain itu, siasatan akan turut memberi tumpuan kepada mangsa dan suspek terbabit dalam kejadian itu.

"Kami juga ingin meminta mangsa dan tuan punya premis untuk tampil membantu siasatan polis," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, orang ramai juga diminta berhenti menyebarkan berita itu selain tidak membuat sebarang spekulasi sehingga kejadian itu dapat disahkan polis.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 Mei 2017 @ 1:38 PM