PASUKAN Kelantan melonjak ke tangga kelima liga.
Aziman Rosdi
aziman@hmetro.com.my


Kuala Lumpur: Derita Kelantan yang dipotong enam mata kini sedikit lega apabila Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) membuat keputusan mengurangkan hukuman itu kepada tiga mata semalam.

Keputusan badan pengelola Liga Malaysia (Liga-M) itu diumumkan menerusi satu kenyataan semalam selepas mengkaji rayuan KAFA yang menyatakan usaha mereka untuk melengkapkan pendaftaran pasukan dengan mengemukakan pelan pembayaran bagi hutang tertunggak.

KAFA pada 2 Mei lalu dijatuhkan hukuman pemotongan enam mata serta dikenakan sekatan perpindahan pemain pada tempoh pendaftaran pemain kedua Liga-M kerana gagal melengkapkan pendaftaran pasukan 31 Mac lalu berikutan masih tidak melangsaikan tunggakan gaji pemain, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), PERKESO dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Dengan pengurangan hukuman pemotongan mata itu, skuad The Red Warriors yang sebelum ini menduduki tangga kelapan Liga Super melonjak ke tangga kelima dengan mengumpul 17 mata.

Bagaimanapun kurang satu masalah, masalah lain pula timbul buat Kelantan. Ini kerana mereka terpaksa melupakan hasrat untuk menggunakan khidmat pemain import baru Seydi L Imam selepas FMLLP tetap dengan keputusan untuk mengenakan sekatan perpindahan kepada pasukan itu pada tempoh pendaftaran pemain kedua pada 15 Mei-11 Jun lalu.

Dapatkan akhbar Harian Metro untuk berita selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Jun 2017 @ 4:11 AM