PEMBANGUNAN PV9 Residences oleh PlatinumVictory Holdings Sdn Bhd.
Oleh Sofyan Rizal Ishak


PEMBANGUNAN PV9 Residences oleh Platinum Victory Holdings Sdn Bhd di Setapak terus mendapat perhatian pembeli.

Dengan anggaran nilai pembangunan kasar (GDV) RM553 juta, projek itu dijadualkan dapat disiapkan menjelang pertengahan 2022.

Pengarah Eksekutifnya, Gan Yee Hin berkata, pembangunan di tanah seluas 2.25 hektar itu mempunyai dua komponen, dengan yang pertama merangkumi 953 unit dalam dua blok dengan binaan daripada seluas 1,000 kaki persegi hinggalah 1,300 kaki persegi dan harga jualan bermula daripada RM530,000.

“Komponen kedua adalah sebahagian daripada skim rumah mampu milik Rumah Wilayah (dikenali sebagai RUMAWIP).

“Sebanyak 438 unit yang terjual mempunyai standard binaan seluas 850 kaki persegi dibina dengan harga siling serendah RM300,000 dan eksklusif untuk mereka yang pertama kali membeli rumah,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Katanya, PV9 Residences adalah satu daripada pembangunan paling menonjol Platinum Victory di Setapak disebabkan lokasinya yang strategik iaitu terletak di tengah-tengah antara stesen LRT Taman Melati dan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman.

“Ia benar-benar menjadi tahun yang mengujakan bagi kami dengan pelancaran berbeza-beza, setiap satunya dengan konsep dan tema unik.

“Kepercayaan tinggi pembeli terhadap projek kami dibuktikan menerusi Platinum Teratai yang habis dijual serta Platinum Arena yang dilancarkan pada Mac 2019, yang ketika ini mempunyai kadar pembelian 90 peratus,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Oktober 2019 @ 7:29 AM