RUMAH mampu dimiliki semua individu sekiranya berkelayakan dan bijak mencari peluang melalui skim disediakan kerajaan.
Oleh Nabil Basaruddin


Isu pemilikan rumah mampu milik boleh ditangani sekiranya rakyat daripada golongan kumpulan berpendapatan rendah (B40) dan pertengahan (M40) membuat carian mengenai pelbagai skim disediakan kerajaan.

Antaranya adalah Dana Rumah Mampu Milik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang menyediakan peruntukan sehingga RM1 bilion khusus kepada golongan memerlukan daripada kelompok B40.

Dana berkenaan diperuntukkan untuk membantu kumpulan berpendapatan rendah membiayai sebahagian daripada pembelian rumah pertama mereka.

Pengarah Jabatan Pemantauan dan Pengawasan Kewangan BNM, Qaiser Iskandar Anwarudin berkata, selain Dana Rumah Mampu Milik RM1 bilion oleh bank pusat, ada pelbagai inisiatif serta skim lain dalam usaha membantu golongan B40 dan M40 mendapatkan rumah.

Beliau berkata, antaranya adalah skim jaminan termasuk bantuan bayaran pendahuluan yang membabitkan Skim Rumah Pertamaku dan Skim Jaminan Kredit Perumahan.

Selain itu, katanya, ada juga bantuan bayaran bulanan seperti Skim Perumahan Belia yang dikendalikan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN) yang menyediakan bantuan sebanyak RM200 bagi tempoh dua tahun bagi 10,000 pembeli pertama.

Katanya, pada Belanjawan 2020 pada 11 Oktober lalu, kerajaan turut mengumumkan Skim Sewa Untuk Beli (RTO) yang membantu rakyat memiliki rumah dengan menyewa terlebih dahulu.

“Banyak usaha dilaksanakan bagi memastikan rakyat negara ini dapat memilik rumah idaman masing-masing dan menjadikannya sebagai tempat tinggal dan berlindung.

“Mereka perlu meninjau dan memilih skim yang mana bersesuaian dengan keperluan, kehendak serta kemampuan masing-masing,” katanya pada sesi taklimat BNM bersama media mengenai hutang isi rumah dan pembiayaan perumahan, baru-baru ini.

Sementara itu, meskipun membeli rumah adalah impian setiap individu, ia juga adalah satu komitmen yang perlu ditanggung untuk tempoh masa yang panjang serta memerlukan disiplin kewangan yang tinggi.

Untuk merealisasikan impian memiliki rumah, bakal pembeli rumah perlu mengetahui dan memahami selok belok dunia hartanah serta mengenal pasti kelayakan serta kemampuan diri sendiri.

Qaiser Iskandar berkata, pelbagai kaedah tersedia bagi membantu pembeli rumah untuk menilai serta memuktamadkan keputusan pembelian rumah.

Beliau berkata, antaranya adalah melalui maklumat perbankan di www.bankinginfo.com.my yang menyediakan maklumat berkenaan produk perbankan dan pengiraan berkaitan.

“Orang ramai juga boleh mendapatkan maklumat daripada sumber seperti Housing Watch di www.housingwatch.my yang menawarkan maklumat berkaitan pembiayaan dan skim jaminan seperti Dana Rumah Mampu Milik BNM dan Skim Rumah Pertamaku.

“Pada masa sama, penubuhan Khidmat Nasihat Pembiayaan (MyKNP) juga memberi khidmat nasihat kewangan bagi mereka yang tidak berjaya mendapatkan pembiayaan daripada bank,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 9:28 AM