RUANG tamu kediaman Muhammad Radzi.
Oleh Sofyan Rizal Ishak


‘Tidak rugi mencuba walaupun berdepan cabaran dan belum tahu hasilnya.’

Mungkin ayat ini sesuai dengan situasi dihadapi Muhammad Radzi Mohd Shah, 36, ketika memohon pembiayaan bank bagi pembelian rumah pertamanya pada 2016.

Pekerja swasta itu berkata, dia memohon pembiayaan perumahan daripada pelbagai bank, namun hanya tiga hingga empat bank menghubungi dan menemubualnya bagi tujuan pengesahan maklumat peribadi.

“Daripada empat bank itu, hanya satu bank yang boleh memberi pinjaman membeli rumah pertama dan saya juga melakukan simpanan selama tiga tahun bagi pembayaran deposit, khidmat guaman dan pelbagai yuran berkaitan,” katanya.

Cabaran Muhammad Radzi dalam proses memiliki rumah tidak hanya membabitkan pemohonan pembiayaan kerana dia juga perlu menunggu sehingga enam bulan berikutan kelewatan pemaju menyerahkan kunci.

“Situasi ini memang sangat mendebarkan kerana saya sudah mula membayar rumah itu secara bulanan dan pada masa sama turut membayar sewa rumah,” katanya.


MUHAMMAD Radzi bersama isteri dan anak.

Muhammad Radzi berkata, lokasi yang strategik dengan semua kemudahan asas menjadi penyebab utama untuk membeli rumah pertamanya itu.

“Selain itu, keputusan memiliki rumah ini juga dibuat berikutan ia berdekatan dengan tempat kerja dan mempunyai banyak akses jalan raya seperti Lebuhraya Guthrie dan Plus,” katanya.

Dia membeli rumah teres dua tingkat yang berukuran 20 x 70 kaki di Saujana Perdana, Sungai Buloh pada harga RM369,000 dengan nilai semasa hartanahnya itu kini meningkat kepada RM415,000.

Sementara itu, Muhammad Radzi menasihatkan orang ramai membeli rumah jika berkemampuan kerana boleh dijadikan aset masa depan.

“Jika kita menyewa sekalipun ia akan tetap menjadi hak orang lain, tapi kalau beli, ia hak milik sendiri

“Mungkin dua hingga tiga tahun selepas menduduki rumah, kita akan rasa susah, tapi pasti rasa senang kemudian hari,” katanya.

Menurutnya, perkara pertama perlu dilakukan untuk membeli rumah adalah pergi ke bank dan dapatkan kepastian mengenai kelayakan membeli sebelum mencari rumah sesuai dengan kemampuan.

“Saya akui memang agak ‘serabut’ bagi pembeli yang kali pertama membeli rumah kerana banyak langkah dan prosedur yang perlu dilalui, namun ringankan mulut dan rajin bertanya orang di sekeliling,” katanya.


DEKORASI disusun atur di rumah Muhammad Radzi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 November 2019 @ 9:39 AM