Pameran hartanah kediaman menjadi antara medium terbaik untuk melihat produk kediaman.
BERNAMA

DALAM usaha mencari jalan penyelesaian mengenai keadaan pasaran hartanah, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) digesa mencari titik persamaan dengan agensi berkaitan.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Amiruddin Hamzah berkata, tindakan itu dapat memperkukuhkan peranan JPPH melalui Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) dalam menerbitkan data yang berkualiti, data semasa dan tepat bagi menyokong pasaran hartanah negara.

“Saya yakin data dan maklumat harta tanah yang diterbitkan oleh NAPIC adalah menyeluruh dan amat berguna untuk dijadikan indikator dalam merencana pembangunan harta tanah negara dan dalam penetapan polisi yang berkaitan dengan harta tanah,” katanya ketika berucap pada Majlis Apresiasi Pembekal Data NAPIC Lembah Klang di Kajang, baru-baru ini.

Hadir sama, Ketua Pengarah JPPH, Mohd Khairuddin Abd Halim.

Amiruddin berkata, data yang dibekalkan perlu tepat agar tidak berlaku isu penyebaran data tidak tepat yang boleh memberi isyarat kurang baik kepada penggiat industri.


Amiruddin

Beliau berkata, isu semasa seperti hartanah tak terjual, ketidaksepadanan antara harga dan lokasi, kenaikan harga rumah serta keadaan pasaran hartanah serantau memberi impak yang besar kepada negara.

“Timbul juga komen negatif yang mempersoalkan ketepatan dan percanggahan data dengan beberapa agensi lain,” katanya.

Amiruddin menggesa pembekal data untuk terus memberi kerjasama bagi memastikan maklumat hartanah dihantar secara dalam talian kepada NAPIC.

“Bertepatan dengan perkembangan dunia teknologi semasa dan Internet Benda (IoT), adalah wajar dan lebih mudah bagi data disalurkan melalui Sistem Maklumat Hartanah Malaysia (PRISM),” katanya.

PRISM menyediakan maklumat tepat, komprehensif dan pantas menge

nai sektor hartanah Malaysia yang turut menyatakan permintaan dan pembekalan hartanah, laporan pasaran hartanah, dan pelbagai maklumat berkaitan hartanah kepada agensi kerajaan, pemaju hartanah dan pihak yang berminat menerusi Internet.

Terdahulu, sebanyak lapan pembekal data dipilih sebagai pemenang Anugerah Pembekal Data NAPIC Terbaik, antaranya Majlis Perbandaran Sepang, IOI Properties Group Bhd, Lembaga Tabung Haji dan GM Klang Sdn Bhd.

Setakat ini terdapat lebih 2,000 pembekal data NAPIC di Lembah Klang yang terdiri daripada agensi kerajaan dan sektor swasta.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 November 2019 @ 10:39 AM