PAMERAN MyRumah Perak-Ku berlangsung sehingga 17 November ini di Stadium Indera Mulia Ipoh, Perak.
Nabil Basaruddin

@[email protected]

MAHU memiliki rumah, tetapi masih mempunyai perasaan bimbang, keliru dan sukar membuat keputusan khususnya dengan situasi kewangan yang ditanggung ketika ini?

Pameran hartanah MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (NSTP) yang diadakan pada hujung minggu ini ada jawapannya di mana orang ramai berpeluang untuk mendapatkan tip serta strategi membeli rumah secara eksklusif.

Siri terbaharu pameran hartanah itu juga sempena Ekspo Antarabangsa Peak (PIEX) yang bermula pada 14 hingga 17 November ini di Stadium Indera Mulia Ipoh, Perak.

Pelabur hartanah yang juga antara penceramah khas pada MyRumah 2019, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, beliau bakal berkongsi pelbagai tip dan strategi dengan orang ramai bagaimana cara untuk membeli rumah dengan tepat.

“Pada sesi ceramah saya pada hujung minggu ini, saya akan kongsikan lapan strategi memiliki rumah khusus kepada pengunjung pameran hartanah MyRumah.

“Sebenarnya ada 16 tip dan strategi semuanya yang merangkumi tip mudah membeli rumah, strategi serta beberapa perkara yang kita sering terlepas pandang sebagai pembeli rumah,” katanya kepada P&P di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Azizul berkata, beliau akan memberi kupasan dengan lebih lanjut mengenai perkara kecil yang sering kali dianggap tidak penting oleh bakal pembeli rumah, tetapi ia sebenarnya penting.

“Malah, saya juga akan menyentuh mengenai panduan bagi mengukur kemampuan membeli rumah serta memahami rule of thumb supaya ia dapat membantu memudahkan pembelian rumah,” katanya.

Selain Azizul, sesi ceramah percuma berkaitan pemilikan rumah oleh pakar industri hartanah negara yang akan turut sama termasuk Ahyat Ishak, Azrina Torman, Izhairil Jufri dan selebriti NSTP, Maria Tengku Sabri.

Temui Azizul secara ekslusif pada pameran MyRumah Perak-Ku 2019 di Ipoh, Perak dengan tajuk ceramahnya 8 Strategi Mudah Beli Rumah pada 17 November ini, jam 3.10 petang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 11:46 AM