Lim Hock San.
hmdigital

KAEDAH Sistem Binaan Berindustri (IBS) bukan saja mampu memberi penjimatan kos kepada pemaju malah ia juga membantu memendekkan tempoh pembinaan.

MGB Berhad, anak syarikat LBS Bina Group Berhad antara syarikat yang berjaya memanfaatkan teknologi ini.

Ia mampu menyiapkan pembangunan sulung bagi projek LBS Alam Perdana dalam tempoh 12 bulan berbanding 18 bulan, enam bulan lebih awal daripada yang dijadualkan.

Projek ini merangkumi 673 unit rumah teres dua tingkat yang dibina menggunakan komponen konkrit pratuang IBS.

Pengarah Urusan MGB Berhad, Tan Sri Lim Hock San berkata, kilang mudah alih IBS MGB berkeluasan 10 ekar itu mampu menghasilkan 2,000 unit hartanah setiap tahun.

“LBS Alam Perdana adalah pembangunan konkrit pratuang IBS yang pertama oleh MGB.

“Kemudahan kilang ini amat signifikan dari segi sumbangannya terhadap kecekapan, produktiviti dan kualitinya yang tinggi. Keadaan ini membolehkan kami untuk menyesuaikan unit blok mengikut keperluan projek di samping menjimatkan masa dan kualitinya yang dijamin.

“Ini sekali gus membawa kepada ketersediaan rumah lebih awal daripada jangkaan,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Melalui IBS, MGB boleh mempercepatkan pembinaan rumah dan menjimatkan sehingga 33 peratus masa pembinaan.

Malah kebergantungan terhadap kos buruh manual dikurangkan sebanyak 31 peratus dan mencapai 49 peratus pengurangan dalam kos buruh di tapak pembinaan.

MGB yakin IBS akan menjadi pemangkin kepada pembinaan yang mampan di Malaysia, selaras dengan mempromosikan pembangunan hijau seperti yang disenaraikan pada Pelan Transformasi Industri Pembinaan (2016-2020).

Menurutnya IBS memainkan peranan penting dalam membantu pemaju dan pembina seperti LBS dalam mencapai matlamat mampan dan membina komuniti yang berkembang maju.

“Walaupun faedah kualiti dan kos IBS yang ketara, masih banyak pemaju belum meneroka sepenuhnya kebaikan terhadap alam sekitar termasuk pengurangan sisa, mempromosikan penggunaan bahan hijau yang cekap, pengurangan bunyi serta meningkatkan keselamatan di tapak pembinaan,’’ katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 11:56 AM