WAN Hashimi Albakri Jaffri (dua dari kiri) pada majlis pecah tanah Bandar Bukit Raja Industrial Gateway
Sofyan Rizal Ishak


PADA masa ini, industri hartanah tempatan dilihat masih perlahan dan ia boleh disaksikan melalui kesukaran mendapatkan pembiayaan perumahan dalam kalangan pembeli rumah.

Situasi itu juga bukan hanya membabitkan segmen kediaman, malah membabitkan segmen berkaitan seperti komersial, ruang pejabat dan perindustrian

Menyedari trend itu, Sime Darby Property Berhad tampil memperkenalkan fasiliti perindustrian

build-to-suit (BTS) di Bandar Bukit Raja Industrial Gateway bagi memperkembang sektor perindustriannya dalam usaha meningkatkan pendapatan berulang apabila ia sebahagian strategi pengembangan perniagaan Kumpulan itu.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Wan Hashimi Albakri Wan Ahmad Jaffri berkata, hartanah perindustrian dan pembangunan logistik dijangka mampu memberi pendapatan jangka panjang kepada syarikat memandangkan margin sektor hartanah serta komersial semakin perlahan pada masa ini.

“Fasiliti BTS ini akan ditawarkan kepada penyewa melalui konsep pajakan dengan tempoh 10 tahun bagi memberi kemudahan kepada syarikat tempatan dan multinasional menjalankan operasi di negara ini,” katanya pada majlis pecah tanah Bandar Bukit Raja Industrial Gateway di Klang, baru-baru ini.

Beliau berkata, konsep BTS itu pertama kali diperkenalkan dalam sektor perindustrian Kumpulan itu selepas ia dilaksanakan dalam sektor pejabat dan ruang runcit sebelum ini.

Menurutnya, konsep BTS itu menyaksikan Kumpulan akan membina fasiliti perindustrian yang disesuaikan dengan keperluan pelanggan perniagaan masing-masing bagi merealisasikan keberkesanan operasi, rekaan ruang fleksibel untuk pengkhususan gudang tahap tinggi.

“Ia juga menawarkan pilihan pajakan untuk jangka panjang bagi mengoptimumkan kos dan turut menyediakan teknologi terkini bagi disesuaikan dengan keperluan teknikal dan operasi masing-masing serta memenuhi pertumbuhan perniagaan,” katanya.

Satu syarikat usahasama, SDMIT Development Sdn Bhd ditubuhkan oleh Sime Darby Property dan rakan kerjasama iaitu Mitsui & Co Ltd dan Mitsubishi Estate Co Ltd bagi membangunkan fasiliti perindustrian BTS ini di tanah seluas 15.78 hektar di kawasan sama.

Ia memiliki 10 plot tanah dengan dua daripada plot itu sudah disewa oleh dua penyewa pertama iaitu penyedia perkhidmatan logistik global iaitu Leschaco (Malaysia) Sdn Bhd dan cawangan rangkaian elektronik pengguna terkemuka, Senheng Electric (KL) Sdn Bhd.

Wan Hashimi berkata, pembinaan fasiliti perindustrian BTS untuk dua penyewa terbabit akan bermula dalam tempoh terdekat dan ia dijangka beroperasi menjelang suku ketiga tahun hadapan.

“Fasiliti bagi kedua-dua penyewa ini akan dibina di tanah seluas 4.04 hektar dengan keluasan binaan 385,000 kaki persegi dan ia adalah hab rangkaian bekalan tersedia pertama seumpamanya dengan infrastruktur seperti air, bekalan tenaga dan telekomunikasi untuk kemudahan penyewa.

“Kami memperuntukkan pelaburan RM100 juta bagi setiap penyewa ini apabila mereka juga memiliki pilihan untuk melanjutkan tempoh sewaan jika mereka berpuas hati dengan kemudahan yang ditawarkan ini,” katanya.

Dalam perkembangan sama, SDMIT aktif melakukan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi meningkatkan jumlah penyewanya dan sehingga kini, ia sudah mengenal pasti lapan penyewa berpotensi.

“Kami tidak menetapkan sebarang tempoh untuk memuktamadkan baki penyewa ini namun berharap ia boleh diselesaikan menjelang tahun depan dengan semua plot tanah ini dijangka mampu untuk disewakan kepada penyewa menjelang penghujung 2021.

“Kami juga komited memperkembang portfolio fasiliti BTS ini,

sekali gus dapat membantu kami untuk mencapai pendapatan berulang melalui aktiviti perluasan ini dalam tempoh jangka panjang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 November 2019 @ 12:14 PM