SHAZALI di hadapan rumah pertama yang dibelinya.
Sri Ayu Kartika Amri


PENGALAMAN membeli hartanah bagi setiap individu pastinya berbeza.

Pelbagai memori tersimpan yang menjadikan pengalaman saat mahu memiliki kediaman menjadi kenangan terindah.

Shazali Ahmad, 36, seorang ejen hartanah berdaftar di Ipoh, Perak mempunyai cerita tersendiri.

Pengalaman membeli rumah pertama agak berbeza dengan orang lain.

“Setelah saya bekerja sebagai ejen hartanah selama tiga tahun (mula bekerja Mac 2012), saya dipaksa oleh majikan untuk beli rumah yang tidak terjual berusia lebih setahun di pasaran.

“Saya ejen ketiga yang diarahkan majikan untuk menjual rumah terbabit.

“Saya dapati rumah berkenaan agak sukar untuk dijual kerana beberapa faktor, antaranya harga yang lebih tinggi daripada harga pasaran, rumah kos rendah, saiz kecil, rumah lama berusia lebih 20 tahun dan berhadapan loji rawatan kumbahan di depannya,” katanya.

Shazali berkata, terdapat rumah teres dua tingkat kos rendah dengan keluasan tanah 840 kaki persegi dan saiz binaan 14 kaki x 30 kaki di Pekan Razaki, Ipoh, Perak.

Menurutnya, harga asal rumah itu adalah RM120,000 dan hasil rundingan rumah berkenaan dapat dibeli pada harga hanya RM70,000.

“Saya pun terus membuat panggilan ke beberapa syarikat penilaian untuk mengetahui harga pasaran rumah terbabit.

“Dukacitanya rata-rata syarikat penilai memberitahu nilai semasa rumah itu adalah RM55,000.

“Bagaimanapun, saya terus saja menghantar permohonan pinjaman kepada bank tanpa menghiraukan nilai semasa yang diberikan syarikat penilaian sebelum ini.

“Akhirnya, bank ketiga yang sudi memberi pinjaman kepada saya iaitu 90 peratus daripada harga belian RM70,000 dengan bayaran bulanan RM362 selama 30 tahun,” katanya.

Katanya, dia terpaksa berdepan masalah deposit 10 peratus yang perlu disediakan tetapi pada waktu itu duit simpanannya tidak mencukupi.


RUANG dalam rumah.

“Syukur, emak mendahulukan duitnya sebanyak RM7,000 kemudian membayar empat peratus iaitu RM2,800 kepada syarikat agensi tempat saya bekerja dan baki enam peratus iaitu RM4,200 kepada peguam untuk diberikan kepada penjual.

“Selepas perjanjian jual beli dimeterai, saya memiliki rumah pertama pada usia 31 tahun iaitu pada 10 September 2015.

“Saya juga membuat pengeluaran wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) selepas itu untuk membayar semula wang yang dipinjam daripada emak,” katanya.

Sepanjang tempoh menunggu untuk proses pindah milik pula, Shazali membuat beberapa kaji selidik di kawasan berhampiran dan mendapati kawasan terbabit berpotensi untuk disewakan.

“Setelah mendapat kunci rumah, saya memanggil adik-beradik untuk membaiki sistem perpaipan, tombol pintu, cat dan memasukkan perabot terpakai serta baru untuk memberi keselesaan kepada bakal penyewa.

“Dengan bantuan mereka, saya dapat menjimatkan kos baik pulih dan rumah itu disewakan pada tahun pertama kepada pelajar institusi pengajian tinggi berhampiran pada kadar RM630 sebulan. Pada tahun kedua kepada beberapa orang anak muda yang baru bekerja pada kadar RM650 sebulan.

“Keuntungan yang diperoleh sepanjang menyewakan rumah ini membolehkan saya selesaikan pinjaman motosikal,” katanya.

Shazali berkata, pada 2017 rumah berkenaan dijual pada harga RM140,000 yang menjadikan keuntungan bersih diperolehnya di tangan sebanyak RM70,000.

“Saya selesaikan hutang dan sebahagian digunakan untuk beli sebuah kereta, sebuah lagi rumah dan mengubah suai rumah pelaburan milik isteri saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 November 2019 @ 9:26 AM