AHMAD Asri
HM Digital

DALAM usaha menyediakan data komprehensif berkaitan pembinaan, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) bersama Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia (RISM) melancarkan Building Cost Information Service Malaysia Sdn Bhd (BCISM) yang bakal menjadi penyedia servis utama Pusat Kos Pembinaan Negara (MyN3C).

MyN3C adalah sebahagian daripada pengenalan Pusat Maklumat Industri Pembinaan Negara (NCIIC) dalam menyediakan data yang diperlukan sebagai rujukan industri.

Perkara terbabit sekali gus dapat memberikan kesan secara langsung kepada aktiviti seperti anggaran, kawalan kos, unjuran kos dan analisis kos-faedah.

Malah, kerjasama dua pihak itu juga adalah antara kemajuan utama terhadap inisiatif CIDB dalam mentransformasikan industri pembinaan menjadi sektor yang lebih produktif, mampan dan berkelas dunia menjelang 2020 selari dengan Program Transformasi Industri Pembinaan (CITP) 2016-2020.

Ketua Pegawai Eksekutif CIDB, Datuk Ahmad ‘Asri Abdul Hamid berkata, meskipun terdapat organisasi yang menyediakan data berkaitan kos pembinaan, industri masih berdepan dengan masalah sama iaitu tiada bank data berpusat dan lengkap.

“Jadi, Portal MyN3C yang dikendalikan oleh BCISM akan membantu dalam menyediakan maklumat lengkap mengenai kos pembinaan kepada semua pihak berkepentingan industri ini.

“Ini juga membantu untuk mencapai produktiviti yang lebih besar dalam sektor ini seterusnya dapat memastikan bahawa kami

memenuhi amalan bertaraf dunia,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

BCISM mula ditubuhkan pada Julai lalu iaitu hasil usaha bersepadu antara CIDB dan RISM.

Lebih menarik, model operasi BCISM adalah mirip kepada syarikat BCIS yang berpangkalan di United Kingdom (UK) yang mana BCIS UK berjaya mengumpul, menganalisis dan menterjemahkan maklumat kos untuk 50 tahun yang lalu.

Sama seperti BCIS UK, BCISM juga akan menyediakan maklumat kos bangunan berpusat untuk industri dan pihak berkepentingan yang berkaitan serta menyediakan maklumat kos dalam saluran yang boleh diakses secara dalam talian.

Usaha seperti ini dilihat dapat membantu pemain industri pembinaan di Malaysia dalam penyediaan anggaran kos awal, perancangan kos, penanda aras, kos keseluruhan dan sebagainya.

Pangkalan data yang diuruskan BCISM termasuk data kos seperti harga bahan binaan, kadar upah buruh, kadar sewaan mesin dan harga pembelian perkakasan.

Selain itu, ia turut merangkumi indeks kos pembinaan yang mana ia termasuk indeks kos bahan binaan, indeks kos buruh binaan, indeks kos mesin dan perkakasan serta indeks kos bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 10:24 AM