LBS Skylake Residence antara projek dibangunkan LBS.
Oleh Nabil Basaruddin


LBS Bina Group Berhad (LBS) menyasarkan untuk mengakhiri tahun kewangan 2019 dengan mengekalkan pendapatan jualan yang kukuh serta prestasi kewangan yang mantap.

Kumpulan LBS mencatat jualanm RM1.5 bilion pada tempoh 11 bulan tahun ini bersandarkan kepada permintaan tinggi bagi beberapa pembangunan projek perbandaran oleh LBS.

Antaranya, termasuk projek Alam Perdana di Bandar Puncak Alam, Kita @ Cybersouth di Dengkil, Bandar Saujana Putra, Cameron Golden Hills dan LBS Skylake Residence di Puchong.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Tan Sri Lim Hock San berkata, pihak pengurusan mengekalkan sasaran jualan tahunan RM1.5 bilion berikutan permintaan menggalakkan dari projek baru yang dilancarkan tahun ini.

Beliau berkata, pembangunan perbandaran strategik, padanan produk yang tepat serta harga pasaran berpatutan, kadar faedah rendah dan pembabitan dalam Kempen Pemilikan Rumah (HOC) 2019 menjadi penyumbang terbesar hasil jualan.

“Pihak pengurusan merekodkan keuntungan RM1.03 billion dan keuntungan sebelum cukai RM120 juta bagi sembilan bulan pertama hingga 30 September lalu.

“Peratusan peningkatan keuntungan adalah sebanyak lapan peratus dalam tempoh sama tahun lalu,” katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Lim berkata, projek perbandaran seperti Kita @ Cybersouth, Dengkil yang dilancarkan pada April 2019 menyumbang RM771 juta dengan 51 peratus jumlah jualan.

Malah, katanya, LBS Alam Perdana turut menjadi penyumbang bagi jualan terbesar itu ditambah dengan pelancaran Melodi Perdana, pangsapuri pertama pada Oktober lalu.

“Pembangunan projek perbandaran LBS Alam Perdana pula menyumbang RM366 juta iaitu 24 peratus jumlah jualan,” katanya.

Sehingga kini, LBS mempunyai 18 projek yang sedang berjalan dengan anggaran Nilai Pembangunan Kasar (GDV) RM4.6 bilion.

Selain itu, jumlah jualan yang belum dibelanjakan sebanyak RM1.843 bilion serta bank tanah seluas 1,618.74 hektar pada 31 Oktober

lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 10:34 AM