DARI kiri: Ketua Perancangan Strategik, Pembangunan Perniagaan dan Perkhidmatan Korporat Kumpulan MK Land, Azhar Othman; Lau dan Timbalan Ketua Pegawai Operasi, Kamarulzaman Abu Bakar selepas AGM) MK Land ke-40, semalam.
Oleh Nabil Basaruddin


KOMITED untuk membangunkan projek perumahan mampu milik, MK Land Holdings Bhd (MK Land) akan meneruskan tumpuan untuk membina rumah yang akan dijual pada harga serendah RM70,000 seunit.

Syarikat berkenaan yang mempunyai projek di Selangor dan Perak, menyatakan, usaha terhadap rumah mampu milik itu juga selari dengan polisi kerajaan iaitu Dasar Perumahan Negara.

Oleh itu, MK Land akan menyediakan rumah yang mempunyai akses dan fasiliti bersepadu kepada semua khususnya kumpulan berpendapatan rendah.

Pengarah Eksekutifnya, Lau Shu Chuan berkata, usaha terbabit adalah sebahagian daripada pelan perniagaan jangka pendek syarikat dalam berdepan pasaran hartanah yang mencabar ini.

“Bagi tahun kewangan 2020, kami akan secara aktif memberi penekanan terhadap segmen rumah mampu milik yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan rakyat.

“Kami sentiasa proaktif dalam melancarkan produk rumah mampu milik dan yang terbaharu pada bulan ini di Taman Bunga Raya, Selangor dan dalam tempoh beberapa bulan lagi di Raia Perdana di Perak.

“Harga ditawarkan begitu mampu milik bergantung kepada kategori produk yang kami akan tawarkan bermula RM70,000 seunit untuk projek di Perak,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) ke-40 di Kuala Lumpur, semalam.

Lau berkata, setakat ini dan sehingga tahun hadapan, MK Land mempunyai beberapa projek yang sedang dijalankan membabitkan 1,100 unit rumah mampu milik.

Menurutnya, semua projek berkenaan membabitkan pembinaan pada nilai pembangunan kasar (GDV) sekitar RM500 juta.

“Setakat ini, untuk projek yang siap, MK Land sudah membangunkan lebih 48,000 unit rumah yang sudah terjual berjumlah RM7.6 bilion.

“Rekod baik ini membuktikan kami sudah lama berada dalam pasaran hartanah dan menawarkan harga rumah yang mampu untuk dimiliki oleh semua,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata, dalam tempoh tiga tahun lagi, pihaknya berharap dapat meningkatkan produk rumah mampu milik sebanyak tiga kali ganda jika dibandingkan pada ketika ini dengan GDV RM1.5 bilion.

“Kami ketika ini mempunyai bank tanah seluas 1,942.5 hektar di sekitar Selangor dan Perak dan meninjau untuk meningkatkannya bagi merealisasikan produk rumah mampu milik pada masa hadapan.

“Melihatkan kepada trend semasa, kami melihat terdapat permintaan yang memberangsangkan untuk rumah mampu milik, membuatkan ramai pemaju mula beralih dari projek mewah kepada mampu milik,” katanya.

Bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2019, MK Land merekodkan jumlah perolehan sebanyak RM172.1 juta, penurunan dua peratus berbanding RM176.3 juta pada tahun kewangan sebelum itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:00 AM