RUMAH teres dua tingkat yang mula didiami oleh Mohd Sha Affandi Md Aripin yang dibeli pada harga RM468,000.
Nabil Basaruddin


SETIAP individu memasang impian memiliki rumah sendiri sebagai mahligai idaman dalam membina keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup sebagai tempat berlindung serta berehat.

Namun, untuk membeli sebuah rumah, ia bukan tugas mudah kerana pelbagai perkara perlu diambil kira.

Pengiraan dan penelitian secukupnya perlu dilakukan supaya tidak menyesal pada kemudian hari akibat tersalah memilih rumah idaman.

Bagi Mohd Sha Affandi Md Aripin, 30, dia berpendapat pentingnya seseorang itu mempunyai ilmu hartanah walaupun sedikit apabila memasang niat untuk membeli rumah.

Ini kerana pembelian rumah akan mengikat seseorang dengan komitmen bagi tempoh yang panjang.

Mohd Sha Affandi yang bekerja sebagai Pegawai Penerbitan di Agensi Nuklear Malaysia berkata, sebelum memiliki rumah, dia akan meninjau beberapa faktor yang ditawarkan bagi sesuatu projek yang dipromosikan oleh pemaju rumah.

“Antaranya, saya akan mengambil kira beberapa pemangkin seperti lokasi dan kedudukannya yang strategik supaya mudah mendapat akses dengan kemudahan utama serta dengan beberapa lebuh raya dan jalan utama supaya ia akan memberi lebih pilihan.

“Selain itu, kemudahan awam seperti pusat beli-belah, servis pengangkutan awam dan klinik atau hospital turut dijadikan ukuran supaya saya tidak perlu bergerak jauh sekiranya perlu menggunakan semua perkhidmatan ini.

“Malah, apa yang penting, jarak perjalanan ke tempat kerja saya dan isteri. Ini bagi memudahkan kami sekiranya berlaku sebarang kesesakan jalan raya dan tidak perlu menunggu lama,” katanya kepada P&P.

Mohd Sha Affandi berkata, dia mula membeli rumah pertamanya pada tahun lalu yang dijual pada harga RM468,000 untuk projek rumah teres dua tingkat di kawasan strategik di Nilai, Negeri Sembilan.

Menurutnya, hanya dengan sekali permohonan pinjaman daripada Lembaga Pembiayaan Perumahan Sektor Awam LPPSA), dia berjaya mendapatkan kelulusan seterusnya menyempurnakan proses berikutnya untuk rumah itu.

“Apa yang menarik, kawasan perumahan ini begitu selesa dan baik sekali kerana ia dilengkapi pengawal keselamatan, taman permainan, surau serta persatuan bagi komuniti kejiranan untuk penghuni di kawasan itu.

“Saya mula terlintas untuk membeli rumah sebelum berkahwin pada 2018 dan halangan dihadapi adalah proses pembelian rumah yang memerlukan masa lama untuk penyediaan dokumen serta kelulusan.

“Bagi saya, selain memiliki kereta, rumah juga dianggap keperluan wajib pada zaman sekarang kerana nilai rumah semakin hari semakin naik.

MOD Sha Affandi bersama isteri, di hadapan rumah pertamanya di Nilai, Negeri Sembilan.

“Tidak perlu fikir terlalu panjang untuk memiliki rumah kerana ia akan menjadi tempat kita berteduh sehingga hari tua kelak.

“Bagaimanapun, untuk kediaman yang dibeli ini, kami terpaksa menunggu sekitar enam bulan untuk mendapat kunci walaupun unit berkenaan sudah siap sepenuhnya.

“Ini kerana kami perlu menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan sebelum perpindahan masuk boleh dibuat,” katanya.

Menurutnya, mereka yang merancang memiliki kediaman perlu menyediakan simpanan mencukupi bagi menampung keperluan tambahan selepas berpindah masuk.

“walaupun teruja memiliki rumah sendiri, namun jangan sesekali lupa untuk menyediakan simpanan tambahan.

“Ini kerana apabila memasuki rumah baharu, kita perlu membuat beberapa perkara antaranya ubah suai jika perlu, pembelian perabot rumah, pemasangan jeriji, pemasangan lampu dan kipas atau pembelian perkakasan dapur,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Disember 2019 @ 5:10 AM