INDRA bersama isteri dan anak di hadapan rumah mereka.
Oleh Syarifah Dayana Syed Bakri


SEPERTI jodoh, rezeki memiliki kediaman sendiri juga adakalanya tiba dalam keadaan tidak disangka. Ada yang bertahun-tahun mencari, tapi belum berjaya memiliki apa yang diidamkan, namun ada pula ‘bertemu jodoh’ walaupun pada asalnya ‘jodoh’ itu untuk orang lain.

Selepas menyewa hampir enam tahun, impian Indra Suatau, 35 memiliki kediaman sendiri semakin kuat terutama selepas terbabit dalam sektor hartanah.

Indra memiliki kediaman pertama yang pada asalnya disenaraikan untuk pelanggannya. Dia yang menjalankan tugas sebagai ejen hartanah tertarik dengan satu unit hartanah disenaraikan memandangkan lokasi strategik dan harga di bawah kemampuannya.

“Rumah pertama yang saya miliki ini pada asalnya untuk disenaraikan kepada bakal pembeli. Melihatkan harga dan lokasinya menjadikan saya rasa lebih baik saya sendiri yang miliki kediaman berkenaan. Ini kerana ia berhampiran kediaman keluarga dan tidak jauh dari pusat bandar,” katanya.

Menurutnya, rumah di Banting, Selangor itu ditawarkan pada harga RM310,000 walaupun mengikut nilai pasaran, unit berkenaan boleh mencecah harga RM340,000.

“Berbekalkan pengalaman sendiri dalam proses jual beli hartanah dan bantuan rakan dalam bidang sama, proses pembelian ini dapat dilakukan dengan mudah.

“Rumah ini berjaya kami sekeluarga diami pada tahun lalu,” katanya kepada P&P di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurutnya, pengalaman menguruskan pembelian hartanah untuk pelanggannya secara tidak langsung membantunya memudahkan proses pindah masuk ke unit kediaman jenis setingkat bersaiz 20 kaki x 70 kaki yang dimiliki itu.

“Unit ini adalah dari pasaran sekunder dan saya turut memperuntukkan sekitar RM20,000 untuk proses ubah suai beberapa bahagian kediaman selain melengkapkannya dengan perabot dan kelengkapan baharu.

“Memandangkan saya dan isteri bekerja sendiri, ruang di bilik utama turut dijadikan sebagai pejabat kecil untuk memudahkan urusan kami berdua,” katanya.

Katanya, walaupun ada pendapat mengatakan hartanah pada masa ini terlalu mahal, ia sebenarnya tidak mustahil untuk dimiliki.

“Apa yang penting, kita perlu tahu tahap kemampuan masing-masing dan jangan memilih unit dijual pada harga di luar kemampuan kita.

“Sebagai contoh, kita mungkin anggap pendapatan semasa yang dimiliki membolehkan kita membayar komitmen perumahan sehingga RM2,000 sebulan, namun ia sebenarnya tidak semudah itu. “Jangan takut bertanya kepada institusi kewangan berkaitan status kewangan kita. Kita juga boleh bertanya kepada ejen hartanah sebelum membuat keputusan untuk membeli mana-mana unit kediaman bagi memastikan kita tidak tersilap langkah,” katanya.

Menurutnya, mungkin ada segelintir pihak yang skeptikal dengan fungsi ejen hartanah, namun secara jujurnya ejen hartanah banyak membantu pembeli.

“Ada dalam kalangan pembeli yang lebih suka berurusan terus dengan penjual kerana mahukan harga lebih rendah. Ada yang berani membayar deposit kepada pemilik kediaman, namun gagal mendapatkan semula deposit berkenaan selepas permohonan pembiayaannya ditolak.

“Di sinilah peranan ejen hartanah diperlukan. Kami akan menjadi orang tengah antara pemilik dan pembeli,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 Disember 2019 @ 10:16 AM