KOK TUCK CHEONG
BERNAMA

EASTERN & Oriental Bhd (E&O) dan Mitsui Fudosan Co Ltd (Mitsui Fudosan) menandatangani perjanjian usaha sama (JV) bagi membangunkan projek kediaman mewah di Damansara Heights, Kuala Lumpur dengan nilai pembangunan kasar sebanyak RM348 juta.

Pembangunan di lokasi pilihan utama itu membabitkan kediaman jenis vila/kondominium tiga tingkat merangkumi 54 unit dan dijangka dilancarkan pada separuh kedua 2020.

E&O dalam kenyataan berkata, projek itu dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan itu mulai 2021 dan tempoh berikutnya.

JV itu akan dilaksanakan oleh anak syarikat milik penuhnya, KCB Holdings Sdn Bhd (KCBH) dan Mitsui Fudosan (Asia) Malaysia Sdn Bhd (MFAM), unit tidak langsung milik penuh Mitsui Fudosan menerusi sebuah syarikat JV baharu.

Pengarah Urusan E&O, Kok Tuck Cheong berkata, KCBH akan memegang 51 peratus kepentingan dalam syarikat JV itu manakala bakinya dipegang oleh MFAM.

Susulan itu, satu perjanjian jual beli akan dilaksanakan antara JV baharu sebagai pembeli dengan Ambangan Puri Sdn Bhd, anak syarikat milik penuh tidak langsung E&O, bagi mengambil alih 14 lot tanah pegangan bebas di Jalan Teruntung, Damansara Heights, berkeluasan kira-kira 15,962.2 meter persegi pada harga RM88.33 juta.

“E&O amat berbesar hati dapat bekerjasama dengan Mitsui Fudosan yang juga syarikat pemaju terkemuka Jepun. Ini juga adalah lanjutan daripada kejayaan kerjasama terdahulu membabitkan pembangunan The Mews & Conlay - dua pangsapuri mewah di Kuala Lumpur City Centre.

“Kami juga teruja kerana sekali lagi dapat bekerjasama erat dengan Mitsui Fudosan menerusi kepakaran dan pengalaman luas syarikat itu dalam aspek konsep dan pembangunan baharu yang menarik ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 January 2020 @ 6:08 AM