ISHAHRULDDIN puas mempunyai kediaman sendiri. FOTO NSTP
ISHAHRULDDIN puas mempunyai kediaman sendiri. FOTO NSTP
Hafiz Ithnin


“SEMEMANGNYA berat juga hati apabila terfikir jarak perjalanan sejauh lebih 40 kilometer berulang-alik ke tempat kerja. Tetapi, segalanya berubah apabila sudah biasa,” jelas Mohd Ishahrulddin Md Tahir, 34.

Baginya memiliki rumah pertama pada usia 33 tahun yang terletak di pinggir Kuala Lumpur iaitu di Sungai Buloh, Selangor tidak ada yang perlu disesali kerana ia adalah rumah sendiri. Apatah lagi, ansuran bulanan dibayar hampir sama dengan komitmen rumah untuk disewa di ibu kota.

Mohd Ishahrulddin membeli kediaman jenis rumah bandar tiga tingkat Eristana, Taman Seri Peristana pada harga RM228,000 sekitar April 2016.

RUMAH pertamanya yang terletak sedikit jauh dari tempat bekerja bukan menjadi penghalang untuk dimiliki. FOTO NSTP
RUMAH pertamanya yang terletak sedikit jauh dari tempat bekerja bukan menjadi penghalang untuk dimiliki. FOTO NSTP

Katanya, sebelum membuat keputusan membeli kediaman di dalam Skim Rumah Selangorku, itu dia ada bertanya kepada rakan-rakan setugas mengenai jarak perjalanan dari Sungai Buloh ke Bukit Jalil, Kuala Lumpur yang perlu ditempuhinya setiap hari ketika bertugas.

“Kebanyakan mereka mengatakan tidak perlu risau kerana apabila kediaman itu adalah rumah sendiri pasti soal jarak perjalanan bukan menjadi kekangan dalam kehidupan.

“Malah, ada juga rakan sepejabat yang tinggal di Seremban dan Senawang, Negeri Sembilan. Mereka berulang-alik setiap hari. Ia menjadikan saya tidak perlu berfikir panjang untuk membeli kediaman sendiri,” katanya.

BERMAIN rona putih menjadikan kediamannya kelihatan lebih luas. FOTO NSTP
BERMAIN rona putih menjadikan kediamannya kelihatan lebih luas. FOTO NSTP

Menceritakan mengenai pengalaman membeli kediaman itu, katanya, proses yang dilalui sangat mudah kerana dia hanya perlu membayar wang tempahan RM500 dan menerusi Skim Rumah Pertamaku, pihak bank meluluskan pembiayaan 100 peratus.

“Setiap bulan ansuran bulanan RM1,100 dan dengan perkiraan pendapatan saya setiap bulan ia munasabah kerana jika menyewa di dalam ibu negara meskipun dikatakan dekat dengan pejabat tetapi harga yang perlu dibayar lebih kurang sama dan paling utama rumah itu milik orang.

“Saya juga bertuah kerana proses mendapatkan pembiayaan sangat mudah meskipun pada awalnya ada rasa keraguan jika pihak bank tidak meluluskan permohonan. Bagaimanapun, kira-kira dua bulan membuat tempahan, nampaknya permohonan saya diluluskan,” kata pemilik kediaman seluas 906 kaki persegi itu.

DAPUR terbuka yang diterapkan di dalam kediaman Ishahrulddin. FOTO NSTP
DAPUR terbuka yang diterapkan di dalam kediaman Ishahrulddin. FOTO NSTP

Jelasnya, dia juga tidak membayangkan bahawa hanya perlu membayar RM500 untuk mendapatkan rumah pertama dalam hidupnya kerana sebelum ini merasakan pembelian kediaman pasti rumit dan memerlukan modal yang tinggi.

Katanya, sebaik mendapat kunci kediaman dia menggunakan wang sendiri hampir RM30,000 bagi melakukan aktiviti mengubah suai kediaman seperti memasang jeriji, pendawaian elektrik dan memasang kabinet.

“Aktiviti mengubah suai juga dilakukan secara berperingkat dan tidak tergesa-gesa kerana bagi saya perkara paling penting adalah mendahulukan perkara yang perlu dan mengikut kemampuan.

“Seperti perabot atau kelengkapan kediaman lain saya lebih suka meninjau harga terlebih dahulu untuk memastikan tidak berlaku berbelanja melebihi wang yang ada,” katanya.

SUSUNAN serba ringkas menjadi pilihan Ishahrulddin untuk menata hias kediaman.
SUSUNAN serba ringkas menjadi pilihan Ishahrulddin untuk menata hias kediaman.

Meskipun mendiami kediaman rumah bandar, unit kediaman Mohd Ishahrulddin terletak di tingkat paling bawah dengan kemudahan parkir hanya di hadapan rumah menjadi antara yang menambat hatinya untuk memiliki aset berkenaan.

“Selain itu, rumah ini mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air. Meskipun melihat kepada angka luas keseluruhan kediaman tidak mencapai 1000 kaki persegi tetapi apabila masuk ke dalam rumah ia tidak begitu sempit.

“Malah, di belakang rumah juga ada ruang tanah membolehkan saya untuk berkebun kelak. Kadangkala terasa seperti mendiami kediaman jenis teres,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 January 2020 @ 10:48 AM
Digital NSTP Subscribe