AMINUDDIN (empat dari kiri) bertanya sesuatu mengenai replika bangunan kepada Wan Hashimi ( tiga dari kiri).
HM Digital

SIME Darby Property mengambil langkah pertama ke arah masa depan pembangunan industri dan komersial di Lembah Wawasan Malaysia 2.0 (MVV 2.0) dengan membangunkan XME Business Park di Nilai Impian, Nilai, Negeri Sembilan dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM520 juta.

Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sime Darby Property Datuk Wan Hashimi Albakri berkata, XME Business Park akan menjadi taman industri terurus pertama di Negeri Sembilan hasil kerjasama pelbagai pihak khususnya kerajaan negeri dan Sime Darby Property.

Berucap pada pelancaran Majlis Pecah Tanah pusat perdagangan XME Business Park oleh Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, beliau berkata, pembangunan taman industri seluas 28 hektar itu membabitkan dua fasa yang dijangka menjana pelaburan RM500 juta.

Menurutnya, fasa pertama yang dilancarkan tahun lalu meliputi 75 kilang dengan GDV RM307 juta dan dijangka siap pada suku ketiga 2022. Setakat ini, lebih 50 peratus tempahan diterima bagi fasa pertama.

Katanya, taman industri itu mempunyai ciri-ciri bagi kelestarian jangka panjang termasuk reka bentuk versatil dan aspek keselamatan 24 jam yang komprehensif.

“Selain itu, kedudukan XME Business Park adalah amat strategik dan sesuai sebagai gerbang ekonomi perindustrian.

AMINUDDIN (tiga dari kanan), Dr Mohamad Rafie (kanan) dan Wan Hashimi (dua dari kiri) melakukan simbolik pecah tanah pada Majlis Pecah Tanah pusat perdagangan XME Business Park.

“Ia turut memiliki kemudahan akses kerana terletak bersebelahan Lebuhraya Utara-Selatan dan bakal memberi impak maksimum kepada perniagaan.

“Sejak pelancarannya pada Disember tahun lalu, XME Business Park menarik minat pelbagai industri perniagaan seperti logistik dan pergudangan, pusat penyediaan makanan, kejuruteraan, pemprosesan makanan dan pembungkusan serta fabrikasi logam,” katanya.

Sebagai pemaju induk bagi MVV 2.0, Wan Hashimi berkata, Sime Darby mempunyai aspirasi untuk memacu projek utama yang berpotensi menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi dan pembangunan sosial komuniti setempat dan negara.

Sementara itu, Aminuddin dalam ucapannya berharap projek yang dicadangkan dalam MVV 2.0 dilaksanakan segera dan memberi lonjakan ekonomi yang mampan kepada Negeri Sembilan.

“Pembangunan MVV 2.0 menumpukan kepada komponen pembangunan industri sebagai teras utama bagi pembangunan kawasan ini.

“Pendekatan dan pelaksanaan projek XME Business Park adalah sejajar hasrat kerajaan negeri untuk menyedia peluang pekerjaan dan perniagaan khususnya kepada rakyat tempatan,” katanya.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek serta Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Dr Razali Ab Malik.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 7 Februari 2020 @ 6:00 AM