PUTERI Raifana (kiri) bersama suaminya di hadapan rumah. FOTO Ihsan Puteri Raifana
Muhamaad Razis Ismail


KAKITANGAN swasta ini sanggup berulang-alik sejauh 50 kilometer (km) setiap hari dari kediamannya di Semenyih, Selangor ke tempat kerjanya di Kuala Lumpur.

Puteri Raifana Ahmad Zai, 32, berbuat demikian sejak tahun lalu selepas berpindah ke rumah sendiri.

Sejak daripada itu, Puteri Raifana berulang-alik dengan menaiki Transit Aliran Massa (MRT) untuk ke tempat kerjanya.

Pada mulanya, dia dan suami, Mohamad Kharussani Mohamed Taib, 33, yang turut bertugas di Kuala Lumpur berdepan masalah menguruskan tiga anak berusia dua hingga lapan tahun sebelum ke tempat kerja.

BARISAN kediaman Puteri Raifana. FOTO Ihsan Puteri Raifana

Bagaimanapun, dia bersyukur, suaminya dapat bertukar kerja di Nilai, Negeri Sembilan yang agak berhampiran dengan Semenyih.

Ia sekali gus memudahkan tugas suaminya membantu menguruskan tiga anak mereka.

Puteri Raifana berkata, sebelum ini dia dan suaminya tinggal menyewa di sebuah rumah teres di Hulu Langat sejak September 2011.

“Kami menyewa rumah teres itu selama tujuh tahun sejak 2011 selepas berkahwin. Pada mulanya kadar sewa rumah hanya RM400 dan pemilik rumah mahu menaikkan kadar sewa sehingga RM700.

DAPUR yang luas. FOTO Ihsan Puteri Raifana

“Pada ketika itu, kami terus buat keputusan untuk mencari kediaman sendiri daripada terbeban membayar sewa bulanan yang tinggi,” katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Menurutnya, dia dan suami kemudian berusaha mencari rumah sesuai di kawasan sekitar Kuala Lumpur dan Selangor yang berhampiran dengan tempat kerja.

“Bagaimanapun, tiada rumah yang sesuai ditemui berikutan harga yang ditawarkan terlalu tinggi selain persekitaran yang kurang memuaskan.

“Kami ada mencuba buat tempahan rumah, namun pinjaman ditolak kerana tiada komitmen bulanan selain baru sahaja bekerja selama dua tahun,” katanya.

Katanya, mereka kemudian mencuba nasib membuat permohonan dengan Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Rumah Selangorku.

“Alhamdulillah pada 2015, kami berjaya dapat tawaran rumah bandar daripada Rumah Selangorku pada 2015 di Semenyih ini dengan harga RM270,000 termasuk proses pengubahsuaian,” katanya.

Katanya, biarpun agak jauh dari tempat kerjanya, dia dan suami bersyukur berjaya mencapai sasaran memiliki kediaman sendiri pada usia 30- an.

“Ketika mula-mula tinggal di kawasan itu saya akui berdepan kesukaran membiasakan diri kerana perlu menempuh perjalanan yang jauh untuk ke tempat kerja.

RUANG tamu. FOTO Ihsan Puteri Raifana

“Bagaimanapun, lama kelamaan saya mula dapat membiasakan diri,” katanya.

Tambahnya, dia rasa berbaloi membeli kediaman di kawasan itu kerana persekitaran tenang selain kos sara hidup yang masih rendah.

“Semenyih sudah banyak pembangunan baru dilaksanakan dan saya difahamkan pada pertengahan tahun 2020 sebuah pasar raya akan siap bina sekali gus memudahkan kami membeli keperluan.

“Pada masa sama, nilai hartanah di sini juga dijangka terus meningkat,” katanya.

Mengulas lanjut, biarpun menduduki rumah bandar, unit kediaman Puteri Raifana terletak di tingkat paling bawah.

“Rumah ini mempunyai tiga bilik tidur dan dua bilik air. Biarpun di luar nampak sempit, tapi sebenarnya di dalam dengan keluasan 1,300 kaki persegi termasuk tempat letak kereta,” katanya.

Puteri Raifana turut menasihatkan terutama golongan belia membeli rumah lebih awal mengikut kemampuan kewangan.

“Kita perlu sedar saban tahun harga rumah semakin meningkat sekiranya kita mengambil masa terlalu lama.

“Bagaimanapun, saya ingin nasihatkan supaya jangan terlalu terikut dengan trend dan jangan terburu-buru membuat keputusan,” katanya.

KEMUDAHAN taman permainan. FOTO Ihsan Puteri Raifana

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 6:15 AM