PROJEK pembangunan bersepadu menjadi pilihan pelancaran pada tahun ini.
Oleh Hafiz Ithnin

PELABURAN hartanah bukan asing bagi mereka yang tahu percaturannya. Faktor seperti lokasi strategik yang mempunyai elemen kebolehhubungan atau mesra jaringan memainkan peranan penting bagi memastikan pelaburan yang dilakukan mampu meraih pulangan yang positif.

Sunway Property misalnya pada tahun ini menawarkan enam projek hartanah bercampur tempatan yang ditawarkan pada harga RM600,000 sehingga RM800,000 seunit antaranya Sunway Velocity TWO ( Kuala Lumpur), Sunway Valley City (Pulau Pinang) dan Sunway Belfiled (Kuala Lumpur).

Projek berkenaan dilihat sesuai untuk pembeli yang berhasrat memilikinya bukan sekadar mendiami malah pelaburan aset untuk jangka masa panjang.

Pengarah Urusan Bahagian Pembangunan Hartanah Sunway Bhd, Sarena Cheah berkata, kebanyakan projek yang ditawarkan berkonsepkan pembangunan bercampur meliputi kediaman dan komersial.

Beliau berkata, lokasi yang menghubungkan jaringan pengangkutan sememangnya menjadi nilai tambah kepada projek pembangunan yang dilancarkan syarikatnya dan mampu menjadi tarikan kepada pembeli dalam segmen pelabur.

“Pembeli dalam kalangan rakyat tempatan masih menjadi kunci utama penjualan hartanah syarikat memandangkan ketika ini lebih 90 peratus daripada pembeli adalah rakyat Malaysia berbanding pembeli asing.

“Selain itu, kami juga menekankan kepada lokasi yang mendapat tumpuan dan berteraskan aliran transit (TOD) kerana di sini mempunyai nilai tambah sesuatu projek kepada bakal pembeli kami,” katanya.

SARENA menunjukkan antara model hartanah yang dilancarkan. FOTO Aizuddin Saad

Sarena berkata, projek yang dilancarkan Sunway Property turut menekankan kepada elemen mendiami, pembelajaran, bekerja, menyeronokkan dalam komuniti urban.

Ketika ditanya mengenai tawaran harga melebihi RM500,000 kepada pembeli pada tahun ini, katanya, projek hartanah yang ditawarkan mempunyai jaringan pengangkutan baik dan kedudukan strategik sudah pasti mempunyai harga yang berbeza tetapi memberi keuntungan kepada pembeli itu sendiri sama ada untuk mendiami mahupun sebagai aset pelaburan.

Tambahnya, meskipun terdapat laporan mengenai situasi hartanah tempatan yang mengalami ketidakboleh pasaran kediaman, Sunway Property tidak terjejas dengan perkara itu.

“Syarikat hanya melancarkan projek di lokasi mempunyai permintaan dan menawarkan harga yang bersesuaian,” katanya.

SARENA menunjukkan antara model hartanah yang dilancarkan pada tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 14 Februari 2020 @ 7:30 AM