Nurul Husna Mahmud


PILIHAN bagi pembantu jurutera, Husaini Mahmud untuk rumah pertama ideal ialah mampu milik.

Meskipun menyimpan hasrat untuk memiliki kediaman jenis rumah teres, namun buat pemuda berusia 32 tahun ini, harga untuk memiliki hartanah itu tidak munasabah berbanding gaji diterima setiap bulan.

Kriteria lain diambil kira Husaini ketika membeli rumah pertama ialah pemilikan pegangan bebas. Keadaan itu membuatkan pencarian rumah pertama tidak kurang tiga tahun.

Katanya, flat kos rendah di Puchong, Selangor ditemui dalam paparan portal dalam talian, Mudah.com menerusi iklan oleh ejen mencari pembeli bersesuaian.

“Mengenai rumah ini sebenarnya saya membuat pencarian lebih tiga tahun sehingga memutuskan untuk membeli hartanah berkenaan. Sebelum ini saya pernah meneliti hartanah lain termasuk rumah teres.

“Namun keadaan rumah kurang baik selain harga ditawarkan membebankan menyebabkan saya mula fokus pada rumah kos rendah.

KEDIAMAN kos rendah yang mempunyai fasiliti mencukupi termasuk padang permainan.
KEDIAMAN kos rendah yang mempunyai fasiliti mencukupi termasuk padang permainan.

“Saya melihat keperluan ketika itu masih bujang dan mencari rumah pertama daripada kategori kos rendah mungkin membantu sebagai pelaburan awal dalam hartanah untuk masa depan andainya bercadang mencari kediaman lebih selesa.

“Tetapi, tidak bermakna tiada kriteria saya lihat untuk pembelian hartanah pertama. Saya membuat tinjauan terlebih dahulu termasuk persekitaran, kejiranan dan kemudahan seperti surau atau sekolah selain lokasi sama ada strategik atau tidak.

MEMADAI untuk dirinya bujang dan kadangkala menjadi lokasi persinggahan keluarga.
MEMADAI untuk dirinya bujang dan kadangkala menjadi lokasi persinggahan keluarga.

“Kelebihan mengenai kediaman ini, di sebalik penawaran harga cukup berpatutan iaitu di bawah nilai pasaran RM100,000, status milikan pegangan bebas menjadi faktor utama saya melakukan pembelian rumah terbabit,” katanya.

RUANG tidur selesa.
RUANG tidur selesa.

Tambah Husaini dalam menjadikan hartanah itu sebagai miliknya, cabaran dihadapi ialah di peringkat dokumentasi apabila perlu melepasi saringan Lembaga Perumahan Selangor (LPS).

“Dalam pemilikan rumah kos rendah, urusan hartanah ini lebih rumit dan selalunya

ada caj tambahan dikenakan dalam yuran guaman andai urusan itu dilakukan peguam menguruskan proses jual beli berbanding kediaman biasa.

LANTAI antara penambahbaikan dilakukan Husaini untuk keselesaan diri dan keluarga.
LANTAI antara penambahbaikan dilakukan Husaini untuk keselesaan diri dan keluarga.

“Untuk dokumen dan maklum balas daripada pihak LPS, biasanya boleh berlarutan daripada tiga hingga lapan bulan andai dokumen serta maklumat berkaitan tidak diperincikan selengkapnya.

“Seterusnya, kriteria seperti penyata gaji, penyata Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), taksiran cukai Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan maklumat penting diperlukan untuk kelayakan membeli kediaman berkenaan.

RUMAH flat kos rendah masih selesa didiami dengan tiga bilik.
RUMAH flat kos rendah masih selesa didiami dengan tiga bilik.

“Sementara menunggu, ketika ini saya membuat pembayaran deposit sebanyak tiga peratus bagi menempah pembelian hartanah itu dan bakinya iaitu tujuh peratus apabila perjanjian jual beli ditandatangani selain penukaran nama milikan hartanah berjalan lancar.

“Tetapi, hal berkenaan biasanya dibantu peguam dilantik dan sebagai pemilik rumah sekurang-kurangnya kena ambil tahu kerana tidak mahu ada kos sampingan atau tambahan terpaksa dilunaskan, sedangkan ia urusan pemilik asal,” katanya.

Untuk keselesaan katanya, dia terpaksa membelanjakan sekitar RM10,000 bagi kemasan lantai dan kemasukan perabot selain kerja mengecat.

Katanya, berbanding milikan aset lain, hartanah perlu dimiliki seawal mungkin kerana nilai aset ini semakin meningkat.

Jadi penting untuk merancang dan paling penting perlu mengukur mengikut kemampuan sendiri supaya rumah pertama boleh menjadi pelaburan atau nilai tambah membantu kepada milikan hartanah lain masa depan.

“Ketika merancang untuk membeli rumah, saya membuat simpanan tetap secara bulanan dan membuat perkiraan mengenai had maksimum ansuran saya mampu bayar.

“Daripada situ juga saya nilai jumlah rumah mampu saya beli termasuk melakukan tabungan berasingan untuk deposit dan kos guaman kerana saya membeli rumah dari pasaran sekunder,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Februari 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe