APARTMEN servis mempunyai empat menara kediaman.
APARTMEN servis mempunyai empat menara kediaman.
Faliqah Alia Radin Mohd


TITIJAYA Land Bhd (Titijaya) mengadakan kerjasama dengan Maybank Islamic yang menawarkan insentif pembiayaan kediaman menerusi program HouzKEY.

Program itu bagi membantu pembeli hartanah Titijaya mendapatkan pembiayaan sepenuhnya dan dikecualikan sebarang bayaran ketika tempoh pembinaan. Menariknya, program itu adalah secara eksklusif diadakan Maybank Islamic bersama pemain industri hartanah berkenaan.

Pengarah Eksekutifnya, Charmaine Lim berkata, pembeli kali pertama dan mahu menaik taraf pemilikan kediaman yang dilancarkan syarikatnya boleh menikmati bayaran pendahuluan satu peratus tanpa bayaran lain sehingga kediaman siap sepenuhnya.

Beliau berkata, Titijaya menyasarkan kepada bakal pemilik kediaman fasa pertama projek Perbandaran Damaisuria dibangunkan syarikatnya, Seiring Residensi yang mempunyai empat menara kediaman dalam segmen apartmen servis di Subang, Selangor.

“Sebagai pemaju hartanah, sudah menjadi tanggungjawab kami menyediakan penyelesaian pembiayaan bagi membantu bakal pembeli memiliki kediaman diimpikan. Apatah lagi, jika mereka mempunyai cabaran dalam aliran tunai.

“Kerjasama dengan institusi kewangan seperti Maybank pastinya membantu lebih ramai rakyat Malaysia dapat memiliki kediaman yang mereka idamkan terutama produk hartanah yang dilancarkan Titijaya,” katanya.

Seiring Residensi adalah projek hartanah yang mempunyai ciri luar kediaman bermula daripada 668 sehingga 972 kaki persegi. Tambahan, ia juga dilengkapi sehingga empat bilik bagi setiap unit bergantung kepada jenis unit yang diinginkan pembeli.

Beliau berkata, kedudukan projek itu juga dilihat strategik kerana mudah diakses menerusi Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE), Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE), Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE), selain Lebuhraya Bertingkat Damansara - Shah Alam (DASH) iaitu hanya satu kilometer jarak menghubungkannya secara terus ke Kota Damansara.

“Malah, selain mempunyai kedudukan strategik, ia juga menawarkan persekitaran hijau menyegarkan dan dilengkapi pelbagai kemudahan kepada pembeli apabila memilikinya kelak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 6:30 AM