FAUZI mad zain
FAUZI mad zain
Hafiz Ithnin


PENGALAMAN membeli kediaman kali pertama pasti sesuatu yang sukar dilupakan. Apatah lagi perlu melalui pelbagai proses merumitkan terutama membabitkan pembiayaan.

Empat kali gagal mendapatkan pembiayaan daripada bank disebabkan komitmen kewangan peribadi yang tinggi dan kali kelima baru berhasil mendapat maklum balas positif.

Itu yang dilalui Mohd Fauzi Mad Zin, 31, kira-kira lima tahun lalu untuk memiliki rumah yang diidamkan yang dilihat amat berbaloi untuk dimiliki kerana kedudukannya hampir dengan pusat bandar Kuala Lumpur. Tambahan pula, harga yang ditawarkan juga mampu milik.

Katanya, sebelum ini apabila orang bercerita mengenai pengurusan aliran kewangan peribadi

dia menganggap

kurang penting tetapi apabila berlaku kepada diri sendiri untuk memiliki aset itu baru dia merasa bahawa perkara itu penting.

“Saya hampir putus asa untuk meneruskan proses pembelian rumah ini kerana ketika itu empat bank tidak meluluskan permohonan untuk pembiayaan.

“Selain itu, saya adalah antara kumpulan pembeli pertama mendapat peluang membeli kediaman menerusi Program Residensi Wilayah (Rumawip) dan maklumat proses mengenainya tidak banyak. Jadi perlu banyak bertanya kepada pelbagai pihak,” katanya.

FAUZI mementingkan kelengkapan perabot terlebih dahulu selepas membeli kediaman.
FAUZI mementingkan kelengkapan perabot terlebih dahulu selepas membeli kediaman.

Melalui tempoh proses menjangkau lapan bulan, akhirnya, seunit kediaman berkeluasan 800 kaki persegi dalam segmen kondominium di Sentul, Kuala Lumpur menjadi miliknya.

Jelasnya, antara cabaran lain untuk memiliki kediaman itu apabila pihak bank hanya menawarkan 90 peratus pembiayaan dan pastinya untuk menyediakan lebih 10 peratus untuk dibayar kepada pihak pemaju bukan sesuatu yang mudah kerana jumlahnya mencecah RM30,000.

Katanya, ketika itu masih tidak ada skim pembiayaan seratus peratus kepada pembeli kediaman pertama berbanding kini pembeli boleh menikmati pembiayaan sepenuhnya.

“Mujur saya boleh mengeluarkan wang daripada akaun dua Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk mendahulukan pembayaran 10 peratus berkenaan memandangkan saya tidak mempunyai wang tunai yang mencukupi,”.

MEMILIKI kediaman pada usia muda pastinya memberi kepuasan.
MEMILIKI kediaman pada usia muda pastinya memberi kepuasan.

“Disebabkan itu saya katakan pengurusan kewangan itu penting kerana kita tidak tahu apabila mendapat peluang terbaik untuk memiliki kediaman dengan harga mampu milik di lokasi yang terbaik tetapi faktor kekurangan tunai menjadi cabarannya,” katanya.

Beliau yang memiliki kediaman itu pada usia 26 tahun itu juga menasihatkan kepada bakal pembeli muda supaya sentiasa mempunyai perancangan kewangan terutama untuk digunakan bagi pembelian aset yang memerlukan aliran tunai yang besar seperti rumah.

Katanya, sebaik berjaya menyelesaikan cabaran untuk mendapatkan pembiayaan dan membayar 10 peratus kepada pihak pemaju, dia tidak tergesa-gesa melakukan aktiviti mengubah suai kediaman kerana kekangan kewangan.

“Apabila berjaya membeli kediaman yang diinginkan ini pastinya menjadi satu kepuasan dan saya tidak memfokuskan kepada aktiviti dekorasi kediaman kerana ia bukan sesuatu yang perlu diberi keutamaan.

“Sebaik mendapat kunci, perkara pertama yang dilakukan adalah membeli kelengkapan kediaman terlebih dulu kerana ia lebih utama berbanding berbelanja untuk menghiasinya,” katanya yang membayar ansuran kepada pihak bank RM1,300 setiap bulan

MENDEKORASI kediaman bukan menjadi keutamaan Fauzi ketika baru memilikinya.
MENDEKORASI kediaman bukan menjadi keutamaan Fauzi ketika baru memilikinya.

Fauzi juga mengingatkan golongan yang ingin membeli kediaman perlu mempunyai pengetahuan dan pendidikan mengenainya kerana ia penting bagi memudahkan mereka ‘menganalisis’ tahap berbaloi atau sebaliknya untuk memilikinya.

“Mungkin kedengaran klise apabila orang memberi pendapat mengenai ilmu kewangan dan memiliki aset itu penting tetapi apabila saya sendiri melaluinya, baru faham bahawa tidak boleh dinafikan kepentingannya kepada masyarakat terutama golongan muda.

“Sekali lagi, perkara paling utama ialah kita perlu bijak menguruskan aliran wang tunai sebelum memiliki rumah kerana pihak bank akan menilai tahap komitmen bakal peminjamnya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 Mac 2020 @ 7:00 AM
Digital NSTP Subscribe