X
MEMILIKI fasiliti lengkap.
MEMILIKI fasiliti lengkap.
Nurul Husna Mahmud


MESKIPUN usia baru menginjak 24 tahun, perunding kewangan, Muhammad Aiman Naufal Nasir sudah bersedia untuk memikul komitmen pertama menerusi pilihan rumah lebih selesa di Pulau Pinang.

Katanya yang mesra dengan panggilan Naufal, untuk memiliki rumah selesa pada harga mampu milik di negeri itu bukanlah sesuatu yang mudah kerana harga pasaran dipengaruhi nilai tanah yang semakin mahal.

“Pada mulanya saya merancang ingin mencari rumah sekunder yang berpatutan kerana berasakan itu opsyen terbaik dengan kemampuan diri kerana jika rumah baharu kebanyakan harganya terlalu tinggi, maklumlah mengikut harga tanah di negeri ini yang mencanak naik nilainya.

“Salah seorang rakan sekerja, Wan Zahrah menyarankan supaya pergi ke bahagian perumahan bagi meninjau projek yang sedang dijalankan pemaju di bawah program rumah mampu milik.

“Alhamdulillah berkat doa orang tua serta rezeki Allah SWT, saya berpeluang membeli rumah kondominium yang berharga lebih daripada setengah juta ringgit pada harga hanya RM300,000 di bawah skim perumahan mampu milik,” katanya.

Kata Naufal, disebabkan rumah berkenaan di bawah skim perumahan mampu milik, proses permohonan perlu melepasi prosedur tertentu.

PELABURAN untuk masa depan dalam pembelian rumah pertamaku.
PELABURAN untuk masa depan dalam pembelian rumah pertamaku.

Katanya, jika membeli rumah baharu, prosesnya lebih mudah namun berlainan keadaannya bagi dirinya kerana membeli rumah di bawah skim perumahan mampu milik.

“Saya kena memohon atas talian dan perlu siapkan dokumen yang berkaitan, kemudian sahkan dan lakukan serahan dokumen terhadap kerajaan negeri.

“Di sebalik kesukaran itu, saya rasa berbaloi kerana rumah berkenaan dijangka siap tiga tahun lagi mempunyai keluasan 850 kaki persegi dan terletak bersebelahan laut,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai kediaman berkenaan, Naufal berkata, ia dilengkapi pelbagai fasiliti seperti gimnasium, bilik membaca, kolam renang yang menghadap laut dan banyak lagi.

KONDOMINIUM di tepi laut unit rumah dibeli Naufal.
KONDOMINIUM di tepi laut unit rumah dibeli Naufal.

Katanya, dalam mencari rumah yang boleh dibuat sebagai pelaburan, kriteria lain iaitu selesa untuk tinggal selain berdekatan dengan tempat kerja menjadi faktor mengapa dia memilih pembelian unit itu sebagai rumah pertama.

Begitupun, Naufal mengakui untuk berada dalam keadaan selesa dan mampu membuat pembelian rumah pada harga pasaran, dia terpaksa bekerja keras termasuk membuat kerja sambilan.

Katanya, untuk membeli rumah itu, dia perlu menyediakan deposit sebanyak 10 peratus dan yuran guaman mengikut harga rumah.

“Untuk memastikan hasrat memiliki rumah berkenaan tercapai, saya terpaksa melakukan pelbagai kerja sambilan termasuk menawarkan servis merakam video serta foto untuk majlis perkahwinan dan juga menjadi broker hartanah.

“Tidak ketinggalan, saya juga mendapatkan pendapat pakar perunding kewangan dalam membantu urus tadbir kewangan kerana pembelian rumah besar suatu keputusan yang besar,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mac 2020 @ 6:50 AM
Digital NSTP Subscribe