BERANIKAN diri untuk miliki hartanah pada usia muda.
BERANIKAN diri untuk miliki hartanah pada usia muda.
Muhamaad Razis Ismail


BARU-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang penyanyi wanita berusia 19 tahun membeli rumah secara tunai pada RM300,000

Berdasarkan laporan Harian Metro, Masya Masyitah mendedahkan keseluruhan wang untuk membeli kondominium di Cheras itu diperoleh daripada pembabitan serius dalam kerjaya nyanyian.

Juara program Ceria Popstar musim kedua turut memuat naik video kediamannya di laman YouTube rasminya dan mendapat maklum balas positif dalam kalangan warganet yang bangga dengan pencapaian artis wanita itu sekali gus mampu memberi inspirasi kepada golongan muda lain.

Persoalannya adakah wajar membeli dan memiliki kediaman sendiri pada usia muda terutama dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu akibat penularan pandemik Covid-19 di seluruh dunia?

Bagi merungkai persoalan itu, penulis bertemu dengan perunding hartanah, Ahmad Firdaus Mahmod yang berpengalaman hampir 10 tahun dalam bidang berkenaan.

Beliau turut memiliki pengalaman sama, apabila 'dipaksa' ibunya membeli sebuah kediaman di Taman Sentosa, Hulu Langat, Selangor pada RM68,000 selepas menamatkan pengajian.

KINI masa sesuai untuk membeli hartanah.
KINI masa sesuai untuk membeli hartanah.

"Pada ketika itu saya berat hati nak beli kerana terpaksa membuat bayaran bulanan. Kawan lain sudah mampu beli kereta tapi saya masih lagi menunggang motosikal.

"Namun selepas 20 tahun, apabila dinilai semula rumah itu kini berharga RM556,000 dengan peningkatan 10 kali ganda. Sebelum ini saya tidak nampak perkara ini.

"Jadi saya rasa berbaloi dapat miliki kediaman pada usia muda yang boleh dijadikan pelaburan menguntungkan," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Beliau berkata, kini kesedaran golongan muda terhadap kepentingan memiliki hartanah dilihat semakin meningkat.

Katanya, bagaimanapun mereka perlu dididik kerana masih kekurangan ilmu dan tidak mengetahui tujuan memiliki hartanah.

"Untuk beli rumah, dua sahaja perkara yang sering ditanya sama ada untuk dijadikan sebagai tempat tinggal pemilik atau pelaburan. Jika untuk tempat tinggal pemilik, lebih mudah maksudnya dia beli dan tinggal di situ.

"Sementara untuk rumah yang ingin dijadikan sebagai pelaburan, ada beberapa pertimbangkan perlu dibuat termasuk sama ada rumah boleh disewakan, boleh dijual di masa hadapan, mendapat peroleh aliran tunai positif serta rumah boleh dijual pada harga tinggi," katanya.

Selain itu, mereka perlu ketahui kelayakan membeli dengan membina profil kewangan untuk memudahkan pihak bank memberi pinjaman yang bersesuaian.

"Mereka juga perlu tahu mengenai proses jual beli hartanah dan memahami kos yang terbabit termasuk yuran guaman, insuran dan sebagainya," katanya.

Pada masa sama, beliau sering menasihatkan golongan muda supaya pembelian rumah pertama untuk dijadikan sebagai pelaburan.

BUAT carian di Internet untuk mendapatkan rumah yang baik.
BUAT carian di Internet untuk mendapatkan rumah yang baik.

"Harga rumah biasanya akan terus meningkat kerana tanah semakin terhad. Cuma untuk orang muda perlu ingat rumah pertama bukanlah kediaman impian kerana pada ketika itu gaji masih kecil dengan membeli ikut kemampuan untuk pemilikan hartanah," katanya.

Terdapat segelintir golongan muda yang masih 'takut' untuk membeli hartanah kerana bimbang tidak mampu membuat bayaran bulanan biarpun layak berbuat demikian.

"Sepatutnya dengan memiliki profil kewangan yang baik, mereka tidak perlu risau, kerana bank mengetahui kita mampu berbuat demikian.

"Tiada istilah ingin tunggu harga rumah jatuh, kerana sehingga kini harga (rumah) tetap sama malah makin meningkat dari semasa ke semasa.

Mengulas lanjut, ramai orang muda yang tidak mempunyai ilmu, membeli hartanah selepas 'termakan' pakej yang ditawarkan pemaju.

"Akibatnya selepas rumah siap, pembeli tidak tahu untuk buat apa-apa. Nak sewakan pun tidak boleh kerana kawasan tidak sesuai.

"Untuk individu yang pertama kali membeli rumah, saya nasihatkan mereka supaya turun padang dan buat analisis pasaran di kawasan kediaman," katanya.

Katanya, terdapat pelbagai cara boleh dilakukan untuk memperoleh ilmu mengenai hartanah antaranya melalui carian di Internet.

"Mereka juga boleh dapatkan maklumat daripada keluarga atau rakan yang pernah membeli rumah. Selain itu mereka boleh sertai seminar hartanah dan dapatkan maklumat daripada ejen hartanah.

"Hartanah bukanlah perkara yang rumit apabila kita fahami prosesnya. Ilmu mengenainya dapat mengurangkan risiko tersilap membeli rumah," katanya.

Ditanya adakah ini masa sesuai untuk membeli rumah, pengasas Team Saudagar Hartanah ini mempunyai pandangan tersendiri.

JADIKAN amalan menyimpan sebelum berbelanja untuk bantu pengurusan kewangan.
JADIKAN amalan menyimpan sebelum berbelanja untuk bantu pengurusan kewangan.

"Bagi yang tidak terjejas dengan penularan Covid-19, simpanan pelepasan moratorium selama enam bulan ini boleh digunakan untuk buat bayaran pendahuluan pembelian rumah.

"Pada masa sama, ramai pemilik rumah yang terjejas mula menjual hartanah sama ada untuk elakkan dilelong dan sebagai dengan harga rendah," katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Firdaus berkata, perkara paling penting untuk golongan muda membeli hartanah adalah pengurusan kewangan.

"Mereka perlu memahami dengan jelas apakah keperluan dan kehendak. Perkara ini kebanyakan orang tidak nampak untuk teruskan kelangsungan hidup.

"Jadikan tabiat menyimpan dahulu gaji kemudian baru berbelanja sebagai amalan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2020 @ 7:00 AM