EcoWorld International berjaya menjual 47 unit kediaman The Modern di Embassy Gardens, London bernilai RM228.2J selepas dilancarkan.
EcoWorld International berjaya menjual 47 unit kediaman The Modern di Embassy Gardens, London bernilai RM228.2J selepas dilancarkan.
Muhamaad Razis Ismail


ECOWORLD International Berhad (EcoWorld International) mencatatkan jualan hartanah sebanyak RM228.2 juta apabila 47 unit kediaman The Modern di Embassy Gardens, London terjual selepas membuat pelancaran di London, Hong Kong dan Shanghai baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Bisnes Antarabangsa (UK) kumpulan itu, Cheong Heng Leong berkata, sambutan luar biasa ini diberikan berikutan penawaran harga yang menarik sekali gus memberikan peluang kepada pelabur hartanah global menjadi sebahagian daripada keluarga Embassy Gardens.

Katanya, populariti Embassy Gardens berkembang sejajar dengan transformasi Nine Elms yang luar biasa dan pelancaran ini adalah tonggak penting untuk pembangunan di tepi sungai kerana ia akan berkembang menjadi lokasi tumpuan gaya hidup terkemuka di London.

"The Modern menawarkan 160 pangsapuri yang direka untuk disesuaikan dengan kehidupan kontemporari abad ke-21.

"Terdiri daripada pangsapuri satu dan dua bilik, blok kediaman terakhir ini juga akan merangkumi dua sentuhan Penthouse.

"Penduduk di The Modern akan dapat menggunakan kemudahan kelas pertama di Embassy Garden yang dianggap terbaik di London termasuk pawagam peribadi, kolam renang, bilik mesyuarat, dua gimnasium, spa dan bilik wap.

Beliau berkata, pembangunan fasa kedua Embassy Gardens adalah usaha sama membabitkan EcoWorld International dan Ballymore Group, pertama kali dilancarkan pada 2015.

PROJEK EcoWorld International di Embassy Gardens.
PROJEK EcoWorld International di Embassy Gardens.

"Ia dijangka dapat menyediakan 743 unit kediaman persendirian dan 163 unit rumah mampu milik di tiga blok kediaman bermula dari tingkat sembilan hingga 23.

"Unit ini juga akan dilengkapi dengan kawasan komersial seluas 27.968 kaki persegi. Pembangunan ini meliputi kawasan seluas kira-kira 5.7 ekar," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Eco World Development Group Berhad (EcoWorld Malaysia) mencatat keuntungan selepas cukai iaitu RM13.8 juta pada suku ketiga tahun ini.

EcoWorld International Berhad turut merekodkan keuntungan selepas cukai iaitu RM38.2 juta pada tempoh yang sama.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld Malaysia, Datuk Chang Khim Wah berkata, pembukaan semula galeri jualan pada 4 Mei lalu selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) membolehkan syarikat memperoleh jualan RM1.25 bilion dalam tempoh empat bulan.

"PKP memberi rahmat kepada kami dalam dua aspek penting. Pertama, landskap pelanggan berubah sepenuhnya dan hampir semua kini dapat dijangkau secara digital dan selesa untuk berinteraksi dengan kami melalui media sosial.

"Faktor kedua pula, setiap projek EcoWorld menawarkan kediaman yang dapat memenuhi kehendak pelanggan yang disasarkan sekali gus membantu menaikkan jualan kediaman," katanya.

MENDAPAT sambutan daripada pembeli tempatan dan asing.
MENDAPAT sambutan daripada pembeli tempatan dan asing.

Sementara itu, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif EcoWorld International, Datuk Teow Leong Seng berkata, keuntungan syarikat itu diperoleh daripada projek sulung Kumpulan di West Village, Australia selepas penyerahan unit yang dijual kepada pelanggan.

"Pada suku ketiga, menyaksikan minat yang berterusan terhadap projek EcoWorld International di London membabitkan pembeli tempatan dan asing.

"Jumlah jualan kumpulan pada 31 Ogos 2020 melebihi RM1 bilion, iaitu 40 peratus lebih tinggi daripada jualan yang dicatatkan pada tempoh yang sama pada tahun lalu. Ini membolehkan kedudukan pendapatan masa depan Kumpulan yang efektif pada 31 Ogos 2020 kekal tinggi pada RM3.94 bilion.

"Kumpulan menjangkakan momentum jualan akan berterusan pada baki bulan terakhir tahun ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 6:45 AM