Muhamaad Razis Ismail


DILAPORKAN sejak merdeka sehingga tahun ini, terdapat harta pusaka beku dan tidak dituntut waris bernilai kira-kira RM70 bilion di negara ini.

Sebahagian besar harta ini membabitkan tanah pusaka terbiar dan banyak penama dalam geran.

Timbalan Presiden Pertubuhan Kebajikan dan Literasi Undang-undang Malaysia (K-LITERASI) Salkukhairi Abd Shukor berkata, kebanyakan isu tanah pusaka terbiar berlaku akibat terlalu banyak penama dalam geran.

"Situasi itu berlaku akibat kegagalan waris si mati menguruskan urusan pusaka tanah geran kongsi pemilikan bersama yang ditinggalkan si mati dengan segera.

"Ia juga disebabkan tiada waris yang sanggup mengambil langkah untuk menguruskannya kerana daripada awal lagi si mati tidak meninggalkan sebarang wasiat untuk melantik pentadbir bagi menguruskan harta pusakanya selepas ketiadaannya kelak," katanya ketika dihubungi baru-baru ini.

Beliau yang juga peguam hartanah berkata, keadaan menjadi lebih rumit apabila penama asal meninggal dunia dan bahagian pusaka akan diturun milik kepada waris yang ramai.

"Kesannya di dalam geran tanah itu semakin banyak penama yang masing-masing akan memiliki bahagian yang semakin kecil saiznya," katanya.

Jelasnya, terdapat juga tanah pusaka yang melepasi beberapa generasi tetapi masih lagi atas nama si mati dan belum diselesaikan urusan pusaka kepada waris-waris.

"Keadaan ini sudah pasti akan lebih menyukarkan proses untuk mentadbir, mengurusniagakan dan membangunkan tanah itu. Malah mungkin tidak lagi praktikal dan mengalami kesukaran untuk dibangunkan termasuk untuk dibuat pecah bahagian dan sebagainya

PROJEK perumahan di atas tanah pusaka boleh memberi keuntungan jangka masa panjang selepas mendapat persetujuan semua waris.
PROJEK perumahan di atas tanah pusaka boleh memberi keuntungan jangka masa panjang selepas mendapat persetujuan semua waris.

"Ini kerana untuk melakukan sesuatu urus niaga atau membangunkan tanah itu, persetujuan daripada setiap penama dan waris-waris mereka adalah diperlukan.

"Proses untuk mengenal pasti waris-waris dan mendapatkan persetujuan itu sudah pasti akan menjadi lebih sukar sekiranya ada penama tidak setuju atau tidak memberi kerjasama sepenuhnya atau terdapat waris-waris yang meninggal dunia atau tidak dapat dikesan. Akibatnya tanah itu terbiar begitu sahaja," katanya.

Mengulas lanjut, masalah ini boleh diselesaikan namun mengambil masa dan memerlukan perancangan yang teliti serta rapi.

"Sikap percaya, jujur dan amanah dalam kalangan setiap waris amat diperlukan. Sifat ego dan tamak harus dibuang serta jangan fikir untuk untung jangka masa pendek sahaja.

"Jangan berbalah soal berebut hak masing-masing sehingga tanah itu terbiar dan akhirnya menjadi milik kerajaan semula kerana terlalu lama dibiarkan, eloklah dimulakan sesuatu inisiatif untuk membangunkannya," katanya.

SETIAP waris perlu memperoleh kata sepakat dalam menyelesaikan masalah tanah pusaka terbiar.
SETIAP waris perlu memperoleh kata sepakat dalam menyelesaikan masalah tanah pusaka terbiar.

Beberapa cadangan mungkin boleh dilakukan untuk menyelesaikan masalah tanah pusaka banyak nama yang terbiar.

1.Kenal pasti dan kumpulkan semua waris yang berkaitan dengan tanah pusaka itu.

Lantik seorang atau beberapa orang wakil kuasa (Power of Attorney - PA) dalam kalangan waris yang boleh dipercayai untuk dipertanggungjawabkan menguruskan segala perkara berkaitan tanah itu selepas daripada ini.

Melalui cara ini semua penama akan tandatangan satu Surat Wakil Kuasa (PA) untuk memberi kuasa kepada wakil kuasa tadi untuk menguruskan urusan berkaitan tanah itu.

Namun kuasa PA ini perlu diperhalusi dan dihadkan setakat mana yang perlu agar kuasanya itu tidak terlalu luas sehingga menyebabkan berlaku salah guna kuasa termasuk memindah milik tanah kepada dirinya.

Bagi waris yang tidak dapat dikesan pula, waris yang ada perlu melantik peguam untuk memfailkan permohonan anggapan kematian di mahkamah. Menerusi perintah anggapan kematian itu kelak, bolehlah bahagian penama si mati diturunmilikkan kepada waris-warisnya yang sah.

2.Selepas semua waris dapat dikumpulkan bersama seorang atau beberapa orang wakil kuasa yang dilantik, semua waris dicadangkan menjual bahagian masing-masing kepada seorang atau dua penama yang berkemampuan dengan harga pasaran semasa atau harga yang dipersetujui bersama antara semua waris atau wakil kuasa yang dilantik.

Sekiranya surat wakil kuasa sudah ditandatangani, hanya penama yang membeli dan wakil kuasa yang dilantik sahaja yang akan uruskan perbincangan mengenai urusan jual beli dan menguruskan urusan tandatangan perjanjian jual beli dan borang pindah milik. Pada peringkat ini, tidak perlu lagi dapatkan tandatangan daripada semua penama atau waris. Pun begitu setiap penama dan waris wajar dimaklumkan sebelum proses jual beli dan pindah milik itu dilakukan.

Sewajarnya proses jual beli ini diuruskan melalui seorang peguam yang dilantik wakil kuasa itu yang akan bertindak sebagai peguam cara urusan jual beli dan sebagai pemegang amanah untuk mengagih-agihkan pembayaran harga jual beli kepada setiap penama dan waris mengikut bahagian serta kepentingan
masing-masing.

BUANG sifat ego, dengan berbincang untuk uruskan tanah pusaka.
BUANG sifat ego, dengan berbincang untuk uruskan tanah pusaka.

3. Dicadangkan juga waris-waris menubuhkan satu koperasi keluarga atau syarikat anak beranak.

Tanah pusaka tadi kemudiannya akan dipindah milik kepada nama syarikat atau koperasi itu dan ia akan menjadi aset kepada syarikat atau koperasi.

Melalui cara ini setiap waris akan diberikan sijil saham mengikut bahagian masing-masing dan tanah pusaka itu akan dimajukan atau diusahakan dengan sesuatu aktiviti yang dapat menjana pendapatan kepada syarikat atau koperasi keluarga.

Setiap setahun sekali, hasil keuntungan perniagaan daripada tanah terbabit akan dibahagikan kepada setiap penama dan waris-waris mengikut bahagian saham masing-masing.

4. Mereka juga boleh memilih untuk memajukan tanah itu sebagai projek perumahan sama ada melalui syarikat atau koperasi adik beradik yang ditubuhkan tadi atau boleh memasuki transaksi usaha sama dengan pemaju yang dipercayai untuk memajukan tanah pusaka itu.

Jika ingin majukan sendiri, mereka boleh serah balik tanah tadi kepada kerajaan dan mohon dikeluarkan geran individu yang berasingan dan seterusnya boleh membina rumah di atas tanah-tanah itu untuk dijual.

Hasil jualan sama ada akan dibahagikan mengikut bahagian masing-masing kepada setiap waris atau boleh terus dimasukkan sebagai pendapatan syarikat dan setiap penama dan waris akan dapat keuntungan setiap tahun hasil daripada 'pemajuan' dan penjualan rumah-rumah itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 Oktober 2020 @ 7:00 AM