Siti Zarinah Sahib


MEREKA kerap kali dilihat mengenakan pakaian sedondon sehingga dianggap pasangan kembar tidak seiras. Biarpun sebenarnya tidak, Maselka Masdon, 27, dan adiknya, Maselza, 26, memiliki minat dan hobi yang sama iaitu melakukan aktiviti lasak serta bersukan secara aktif.

Menariknya senaman diperkenalkan kedua-dua beradik ini membabitkan pergerakan yang jarang dilakukan.

Malah keupayaan mereka melaksanakan latihan bersifat interval intersiti tinggi (HIIT) ketika sesi penggambaran begitu mengujakan penulis. Lagak seperti ahli gimnastik, keupayaan Maselka berdiri di atas paha Maselza sambil melepaskan tangan menimbulkan rasa panik penulis dan jurugambar.

Namun pengalaman dan latihan menyebabkan mereka dapat melakukan dengan baik dan mudah. Jelas keceriaan pada wajah masing-masing tatkala menyelesaikan tugasan diberi.

Menariknya apa yang cuba disampaikan melalui senaman menampilkan perbezaan berbanding jurulatih kecergasan lain.

Menurut Maselka, ramai berpendapat tujuan bersenam adalah untuk kurus dan mengembalikan bentuk badan. Sebenarnya ia lebih daripada itu. Senaman membabitkan perasaan, emosi dan jiwa.

“Malah mereka yang bersenam mendapat pelbagai kebaikan bukan sahaja kesihatan tetapi kesejahteraan dan kebahagiaan,” katanya.

Memiliki ijazah dalam bidang psikologi dari Universiti Terbuka Malaysia, kata Maselza, senaman bukan semata-mata mendapatkan bentuk badan idaman sebaliknya mengembalikan keceriaan, menghilangkan rasa tertekan dan jiwa yang gelisah untuk tampil lebih tenang serta gembira.

“Sebagai pengamal dalam bidang psikologi masalah utama yang sering dihadapi wanita adalah tekanan. Baik bujang mahupun berkeluarga tidak dapat lari daripada masalah ini.

“Tekanan disebabkan bebanan tugas di pejabat dan di rumah, masalah dengan suami dan anak malah kesesakan jalan raya turut menyumbang kepada emosi yang tidak stabil.


PENGALAMAN dan latihan menyebabkan mereka dapat melakukan dengan baik dan mudah.

“Ramai tidak tahu cara menguruskan tekanan sehingga melakukan perkara yang tidak sepatutnya seperti mengambil pil tidur, menjadi sangat pemarah, memberontak dan juga gemar makan banyak. Sebagai jurulatih kami ingin mendidik wanita bukan sahaja menerusi senaman tetapi cara memanfaatkan senaman untuk kebahagiaan sehingga mereka menyedari banyak faedah diperoleh,” kata Maselza.

Kata wanita yang murah senyuman ini lagi, sepanjang mengendalikan program senaman dia dapat melihat kegembiraan dan keceriaan peserta.

Walaupun pada mulanya tujuan utama untuk menurunkan berat badan, selepas beberapa kali sesi riadah mereka semakin nampak fungsi senaman sangat luas bukan hanya dalam aspek kesihatan tetapi emosi yang stabil, jiwa yang tenang dan ceria.

“Disebabkan faedah yang diperoleh ini ramai yang mula berkongsi masalah dengan kami. Mula bercerita kesedihan atau kegembiraan mereka.

“Di sebalik mulut kami yang becok ini, sebenarnya saya dan Maselka suka mendengar dan boleh menjadi pendengar setia. Sebab itu mereka tidak kisah berkongsi cerita,” katanya.

AKTIF SEJAK DI BANGKU SEKOLAH

Menurut Maselka pula, sejak di sekolah menengah mereka sudah terbabit dengan sukan hoki, bola baling dan catur serta menjadi wakil sekolah. Begitu juga Maselza yang turut berkongsi minat dengan kakaknya.

Berperwatakan seperti kembar kedua-kedua jurulatih kecergasan ini kerap melakukan pelbagai aktiviti bersama dengan mengenakan kasut dan baju sedondon sehingga kerap mencuri perhatian terutama apabila mengadakan senaman di kawasan terbuka.

Mula terbuka untuk aktif bersama jelas Maselza, ia bermula selepas menyertai program Explorace yang diadakan di Putrajaya.

“Bertitik tolak dengan program ini muncul minat untuk menyertai aktiviti lasak. Perkara pertama yang kami lakukan adalah mendaki Bukit Broga dan Gunung Nuang serta mendaki hampir semua gunung di Selangor.

“Daripada mendaki gunung, saya dan Maselka mula beralih kepada acara larian. Bermula dengan jarak lima kilometer (km) kemudian tujuh, 10 dan pernah menyertai acara 42km,” katanya.

Apa yang membuatkan dua beradik ini semakin bersemangat adalah sokongan ibu yang tidak bimbang apabila mereka menyertai aktiviti berdua.

Kemuncak peralihan daripada aktiviti yang dianggap sebagai hobi kepada kerjaya yang lebih meyakinkan iaitu jurulatih kecergasan bertauliah, iaitu sebaik pulang dari bercuti di Sepanyol.

“Di sana kami melihat pembabitan masyarakat dalam sukan dari sudut berbeza. Kami mula terfikir mengapa tidak berkongsi dengan masyarakat mengenai kebaikan senaman?


KAMI mula terfikir mengapa tidak berkongsi dengan masyarakat mengenai kebaikan senaman?

“Mungkin selama ini ramai individu tidak mahu mengambil jurulatih profesional disebabkan harga yang mahal. Jadi kami boleh memulakannya dengan mengenakan harga berpatutan kepada mereka yang ingin mencuba,” katanya.

Ketika itu kedua-dua masih bekerja, Maselka sebagai penyelidik batu permata manakala Maselza sebagai akauntan. Selepas berbincang dengan keluarga keduanya mengambil kata sepakat berhenti kerja untuk menjadi jurulatih kecergasan sepenuh masa.

“Perkara pertama yang kami lakukan adalah mengambil kursus sepenuh masa dan memperoleh sijil tauliah senaman secara berkumpulan dan individu termasuk rundingan pemakanan.

“Menggunakan kuasa media sosial kami mula mempromosikan senaman di laman media sosial sehingga mendapat perhatian selebriti.

“Mungkin disebabkan video yang kami gunakan bertaraf antarabangsa menyebabkan ia berjaya ditularkan. Hasilnya ramai ingin mendapatkan khidmat rundingan kami,” kata Maselza.

Selain jurulatih secara individu, Maselka dan Maselza juga turut mengadakan kelas senaman percuma pada hujung minggu di sekitar Lembah Klang.

Jelas Maselka, ini bagi membantu menambah kesedaran masyarakat mengenai kebaikan senaman selain memberi peluang kepada individu mengetahui teknik senaman yang betul tanpa dikenakan bayaran.

“Biasanya kami adakan di kawasan tertutup dalam kumpulan kecil bagi memberi keselesaan kepada wanita. Ada juga senaman di buat di kawasan padang untuk seisi keluarga,” ujarnya.

PROFIL

Maselka Masdon

Asal: Kuala Lumpur

Usia: 27 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Psikologi, Universiti Terbuka Malaysia

Pencapaian: Jurulatih Kecergasan Peribadi Bertauliah dan pernah mengendalikan senaman berkumpulan dalam skala besar di Shah Alam.

Idola: Ibu bapa

Maselza Masdon

Asal: Kuala Lumpur

Usia: 26 tahun

Pendidikan: Ijazah Sarjana Muda Psikologi, Universiti Terbuka Malaysia

Pencapaian: Jurulatih Kecergasan Peribadi Bertauliah dan pernah mengendalikan senaman berkumpulan dalam skala besar di Shah Alam.

Idola: Ibu bapa

Cita-cita: Usahawan kecergasan

Cita-cita: Usahawan kecergasan

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 9:28 AM
MASELKA dan Maselza tampilkan latihan berbeza berbanding jurulatih kecergasan lain.