KOLEKSI terbaru busana Ezuwan Ismail ketengah pelbagai motif binatang liar.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


PESONA rekaan busana Ezuwan Ismail di pentas peragaan tidak pernah mengecewakan. Ada saja kejutan baru disediakan buat pengikut fesyen semasa.

Betapa banyak mata liar tidak dapat lari daripada terus tertumpu ke pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur 2019 (KLFW 2019) yang berlangsung pada penghujung Ogos lalu. Masing-masing teruja meneliti satu persatu karya pereka berbakat ini.

Kata Ezuwan, semua 18 rekaan eksklusif yang diperagakan di pentas minggu fesyen baru-baru ini adalah koleksi siap pakai (RTW) musim bunga dan panas 2019/2020.

“Safari Collections by Ezuwan Ismail diinspirasikan daripada keindahan safari. Ia berkonsepkan alam semula jadi dan mengetengahkan pelbagai motif binatang liar yang menjadi ikutan serta kerap mencetuskan trend dalam dunia fesyen antarabangsa.

“Daripada keseluruhan 18 rekaan yang saya hasilkan, 14 busana dikhususkan untuk wanita yang berani menonjolkan karisma diri. Manakala bakinya terdiri daripada padanan ringkas buat menonjolkan sisi maskulin lelaki,” katanya.

Menurut Ezuwan, dia mengadun pelbagai jenis fabrik untuk melengkapkan koleksi kali ini, termasuk jenis kapas, polyester, sifon, satin, PVC, baldu, neoprene dan sekuin.

“Majoriti warna utama yang saya pilih pula berasaskan rona alam semula jadi seperti hijau, hitam, coklat, krim dan putih. Manakala cetakan kulit ular dan harimau bintang diangkat sebagai motif utama koleksi ini,” katanya.

Tambahnya, dia cukup teruja dapat memeriahkan pentas KLFW 2019 dengan mengetengahkan pelbagai elemen istimewa dan luar biasa.

“Secara peribadi, koleksi ini saya anggap unik kerana fabriknya ditempah khas dan dicetak mengikut kreativiti sendiri.

“Selain itu, potongan setiap helaian juga sangat berbeza berbanding kebiasaan kerana boleh dipakai untuk harian dan sesuai digayakan ketika menyertai aktiviti luar yang lasak,” katanya.


CORAK kulit ular tonjol aura luar biasa.

ADUNAN pelbagai fabrik hasilkan karya istimewa.

PADANAN ringkas untuk lelaki.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:15 AM