CERIA dengan aktiviti yoga ketawa.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


SELALU kita dengar ketawa dan sikap murah senyuman adalah rahsia awet muda. Malah ketawa juga dikatakan mampu mengurangkan tekanan, meningkatkan sistem imun dan memanjangkan hayat seseorang.

Mungkin ramai tidak sedar adanya Hari Ketawa. Ia cetusan idea pengasas terapi ketawa, Dr Madan Kataria yang meletakkan Ahad pertama dalam bulan Mei sebagai Hari Ketawa Sedunia.

Manfaat ketawa kemudian dikaji profesor perubatan dari University Of California Irvine, Dr Lee Berk bersama kumpulan penyelidiknya. Beliau berusaha merungkai bagaimana mood seseorang itu boleh memberi kesan kepada sistem imun dan mempunyai kaitan dengan penyakit.

Siapa sangka, kajian itu mendapati bahawa ketawa turut mempunyai peranan dalam melawan virus, bakteria, kanser dan penyakit jantung!


FUTOSHI Hanahara

Namun, kesibukan kerja hari ini seakan mengekang ramai orang untuk menikmati masa gembira bersama keluarga dan teman, sekali gus bergelak ketawa semahu-mahunya.

Komited membawa lebih banyak perubahan dan kelainan dalam gaya hidup masyarakat kini, Berjaya Sompo Insurance Berhad (Berjaya Sompo) memperkenalkan terapi ketawa dan muzik menerusi kempen Sompo Cares.

Menurut Naib Ketua Pegawai Eksekutif Berjaya Sompo, Futoshi Hanahara, ia sebahagian usaha jangka panjang syarikat untuk menggalakkan gaya hidup aktif dan sihat dalam kalangan masyarakat Malaysia.

“Kami gunakan pendekatan unik untuk kempen kali ini yang memfokuskan kepada lima tiang utama iaitu ketawa, muzik, makanan, kecergasan dan alam semula jadi.

“Begitupun, ketawa menjadi tunjang kepada pelaksanaan projek ini sepanjang Julai hingga Oktober depan dengan adanya The Laughter Yoga Campaign,” katanya.

Jelas Hanahara, pihaknya sengaja memilih terapi ketawa berikutan percaya ia boleh menjadi penawar terbaik dalam mengurang tekanan, meningkatkan sel imun, membina antibodi dan meningkatkan daya tahan penyakit.

“Kami yakin minda sihat adalah tubuh yang sihat. Sebab itulah kami bawakan langkah pencegahan menerusi kempen kali ini. Walaupun ada banyak kaedah yang boleh membantu meningkatkan kesejahteraan masyarakat, tetapi kita pilih ketawa.

“Bayangkan, dengan hanya ketawa selama antara 10 hingga 15 minit, ia membantu membakar sehingga 40 kalori. Paling penting, ketawa adalah percuma, mudah dan boleh dikongsi dengan orang lain. Ia jelas membawa keseronokan dalam hidup,” katanya.

Kempen yoga ketawa itu dibawakan hasil kerjasama dengan LOL Events (M) Sdn Bhd (LOL Asia). Ia menjadi aktiviti kesihatan pertama dibawakan jenama insurans di Malaysia yang menggabungkan seni yoga dan ketawa dalam persekitaran senaman untuk mengurangkan tekanan.

“Yoga ketawa mungkin baru di sini, tetapi sudah banyak diamalkan di seluruh dunia. Senaman ini menjadi pilihan ramai berikutan manfaatnya terhadap kesihatan, peribadi, perniagaan dan kehidupan sosial,” katanya.

Selain yoga ketawa, Hanahara turut berkongsi enam senarai lagu dengan tema Chillax, Wanderlust, Vroom, Beats, LOL dan Asia. Semua senarai pilihan lagu menarik ini boleh didapati menerusi aplikasi Spotify.

“Kajian menunjukkan 84 peratus individu mendengar muzik ketika berasa tegang atau gugup. Sementara 72 peratus pendengar pula percaya muzik membantu mereka dalam proses pemulihan penyakit. Bahkan 41 peratus memilih muzik untuk membina keyakinan diri,” katanya.

MANFAAT KETAWA

1. Meningkatkan sistem imun

Apabila tekanan berkurang, sistem ketahanan tubuh akan meningkat. Secara tidak langsung, ketawa membantu menangkis pelbagai penyakit.

2. Meningkatkan hormon endorfin

Hormon endorfin berfungsi memberikan rasa lega, tenang, nyaman, gembira dan bahagia. Ia dirembeskan dengan banyak ketika seseorang ketawa.

3. Melindungi jantung

Dengan ketawa, perjalanan darah akan lebih lancar. Secara tidak langsung, penyakit berkaitan jantung dapat dihindari.

4. Mengurangkan tekanan

Sejak dulu ketawa diakui mujarab untuk mengurangkan tekanan. Jadi, ketawalah apabila anda dalam situasi sukar dan tertekan.

5. Memperbaiki pernafasan

Kesan ketawa boleh membersihkan paru-paru. Ini sama seperti kita menarik nafas dalam-dalam. Jadi, bila anda ketawa berulang kali, ia boleh membersihkan tubuh, menjadikan ia lebih bertenaga dengan kemasukan oksigen baru.

6. Baik untuk bahagian perut

Ketawa yang pecah di perut baik untuk organ dalaman sekitar perut seperti hati, buah pinggang, pankreas, limpa dan kelenjar ginjal. Hasilnya, aliran darah lebih lancar dan berfungsi lebih baik.

7. Mengurangkan sikap agresif

Cuba perhatikan saat anda ketawa, tentu lebih tenang dan kurang agresif bukan? Bahkan dalam satu kajian, mereka yang suka menonton video lucu lebih tenang berbanding orang yang tidak suka menontonnya.

8. Meningkatkan kemahiran bersosial

Seorang yang mudah ketawa, lebih mudah untuk didekati berbanding individu berperwatakan serius. Hubungan juga jadi lebih akrab sekiranya sering ketawa.

9. Meningkatkan ketahanan tubuh

Ketawa telah terbukti dapat meningkatkan kadar salivary immunoglobulin A (IgA). Ia antibodi penting untuk memerangi bakteria dan jangkitan terutama dalam sistem pernafasan.

10. Senaman unik

Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa dengan ketawa sebanyak 100 kali, jumlah tenaga yang digunakan adalah sama dengan 10 minit mendayung kanu atau 15 minit mengayuh basikal!

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:20 AM