VAN Kombi tawarkan teh tarik, ruang dan peluang kepada pengunjung mengeratkan hubungan kekeluargaan.
Oleh Suliati Asri


PERCAYA atau tidak, masyarakat masa kini dikategorikan sebagai kesunyian kerana kurang berhubung sesama sendiri secara terus. Malah ada segelintir masyarakat yang mengalami masalah kemurungan. Itulah hasil kajian yang dijalankan di United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Tidak berjumpa atau berkomunikasi dan lebih banyak meluangkan masa dengan menatap skrin telefon pintar, televisyen serta iPad antara faktor utama masalah global yang dihadapi kini.

Justeru, bagi mengembalikan detik bersama dan hubungan yang lebih erat sesama sendiri terutama dalam keluarga serta adik beradik, Lipton menerusi kempen #KawBersama ingin mengingatkan masyarakat yang sebenarnya mereka tidak berhubung sesama sendiri.

Pengurus Penjenamaan Lipton, Andreana Mah berkata, walau duduk sebumbung hubungan erat sesama sendiri tidak ada kerana masing-masing sibuk dengan kehidupan sendiri dan telefon pintar.

“Sedar atau tidak, kita sebenarnya tidak berhubung sesama sendiri. Cuba tanyakan pada diri sendiri, bila agaknya kali terakhir kita bercakap dengan ibu, bapa atau adik beradik?

“Ramai tidak sedar kita tidak ada komunikasi sebenar seperti bersembang mengenai kehidupan harian yang dapat mengeratkan hubungan.

“Justeru, menerusi kempen #KawBersama ini, kami menyeru semua masyarakat untuk sentiasa berhubung dan mengeratkan hubungan sambil menikmati keenakan secawan teh tarik Lipton,” katanya.

Kempen selama dua bulan dan berakhir hujung September ini bukan saja untuk mengeratkan hubungan tetapi juga bersempena sambutan Hari Teh Tarik Malaysia pada 15 September lalu. Rasa teh yang pekat dan beraroma menjadi asas terbaik untuk teh tarik.

Menurut Andreana, keistimewaan Teh Tarik Lipton ialah ia mempunyai rasa dan aroma lebih kuat serta daun tehnya berkualiti tinggi menghasilkan warna lebih pekat sesuai dengan cita rasa pengguna tempatan.

“Teh tarik antara minuman digemari rakyat Malaysia dan ia sangat sinonim dengan waktu minum petang yang berupaya menyatukan masyarakat berbilang bangsa serta budaya di negara ini.

“Justeru Lipton menggunakan masa itu untuk menggalakkan masyarakat minum teh tarik dan dalam masa yang sama dapat berkomunikasi bersama keluarga atau insan tersayang secara terus.

“Sepanjang kempen ini, kami menerusi Volkswagen Kombi (Van Kombi) yang diubah suai akan berada di sekitar ibu negara dan pantai timur iaitu Kelantan, Kuala Terengganu dan Kuantan, di lokasi yang sering dikunjungi seisi keluarga kerana kita mahu menggalakkan mereka meluangkan masa bersama.

“Kami juga menyediakan meja untuk seisi keluarga duduk bersantai di samping menyediakan permainan tradisional dan hadiah yang bukan saja memberikan masa berkualiti tetapi dapat mengeratkan hubungan kekeluargaan,” katanya.

Selain Van Kombi, kempen #KawBersama turut dipromosi melalui iklan di televisyen, digital dan di pasar raya seluruh negara.

Lipton juga berkolaborasi dengan dua selebriti tanah air, Amyra Rosli dan suaminya, Amar Baharin serta penampilan khas ibu Amyra dalam iklan televisyen. Jadi apa tunggu lagi, jom #KawBersama secawan teh tarik!

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:00 AM