ROSNIZA membuang daun yang dimakan ulat.
Oleh Aida Adilah Mat


STATUSNYA sebagai suri rumah dan kesukaran mendapatkan bahan untuk memasak ketika diperlukan mendorong Rosniza Said bercucuk tanam di sudut kediaman Kondominium Cengal Bandar Sri Permaisuri, Cheras, Kuala Lumpur.

Tiada istilah tiada tempat atau ruang bagi mereka yang tinggal di bandar kerana bagi Rosniza, di mana ada kemahuan di situ pasti ada jalan.

Idea itu disuarakan kepada komuniti penduduk kondominium berkenaan dan mendapat maklum balas positif termasuk daripada pihak pengurusan.

Bermula dengan beberapa jenis herba, kini kebun kecil yang dipanggil Kebun Persendirian Wanita Cengal itu mempunyai lebih 30 jenis tanaman terdiri daripada ulam-ulaman, sayur dan buah-buahan.

Bercakap mengenai kos kebun itu, Rosniza berkata, permulaannya dia bersama komuniti di kondominium berkenaan membelanjakan sekitar RM1,000 hasil sumbangan penduduk wanita di kondominium itu kepada tabung kebun.

Malah jumlah tabungan kebun juga semakin bertambah dari sehari ke sehari dengan duit tabung kebun kini sudah mencecah RM1,400.


SUDUT kondominium jadi kebun mini lebih 30 jenis tanaman.

“Idea ini datang daripada pengalaman sendiri. Setiap kali apabila hendak memasak, ada sahaja bahan asas yang tidak cukup dan saya terpaksa ke kedai yang agak jauh untuk membelinya sedangkan jumlah yang diperlukan tidak banyak.

“Saya yakin ramai wanita alami masalah seperti ini. Jadi langkah terbaik ialah menanam sendiri dan dengan kewujudan kebun kecil ini memang memberi manfaat kepada banyak pihak.

“Selain memudahkan komuniti di sini, ia juga mampu mengimarahkan suasana kejiranan apabila setiap petang ada sahaja penduduk yang menyiram atau menjaga kebun kecil kami ini.

“Pihak pengurusan juga banyak membantu antaranya menyediakan kerusi dan meja untuk kami melepaskan lelah selepas penat di kebun.

“Malah kebun kecil yang subur menghijau ini juga dijadikan tempat warga Cengal berkumpul pada sebelah petang. Secara tidak langsung kebun ini merapatkan ukhuwah sesama jiran,” katanya.

Rosniza berkata, kebanyakan ilmu dan tip berkebun diperoleh dari YouTube dan laman sosial Facebook. Dia turut mempelajari cara untuk mengadunkan baja yang terbaik. Antara yang digunakan adalah baja tahi ayam untuk pokok ulam dan herba.

Antara tanaman yang boleh didapati di Kebun Persendirian Wanita Cengal seperti pandan, pegaga, betik, kaduk, ubi kayu, belalai gajah, kacang telang, lengkuas, ulam sambung nyawa dan pelbagai lagi.

Kata Rosniza, hasil tanaman tidak dijual dan ia adalah kegunaan bersama warga Cengal.

“Kami mempunyai kumpulan WhatsApp dan jika ada penduduk yang mahu mengambil hasil tanaman, mereka boleh maklumkan saya atau dalam kumpulan berkenaan.

“Tiada masalah jika ada yang hendak ambil saja mengambil hasil kebun (tanpa beritahu) kerana apa yang kami lakukan ini adalah untuk semua dan ia sebagai amal jariah,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 September 2019 @ 5:10 AM