PERBEZAAN usia, pelajar kampus bukan penghalang bahagia. SOLEKAN: yann_rifft (instagram)
Oleh Siti Zarinah Sahib


BERKAHWIN ketika masih bergelar pelajar memang banyak cabarannya. Apatah lagi sekiranya bersuamikan lelaki yang mempunyai jarak usia 10 tahun perbezaannya namun bagi Asfika Mohamad, 25, dan pasangannya Kamal Akram Ibrahim, 35, tiada masalah tidak dapat diselesaikan asalkan kedua-duanya mempunyai persefahaman antara satu sama lain.

Berkenalan dalam tempoh yang singkat iaitu tiga bulan sebelum mengikat tali pertunangan, jelas Asfika, walaupun keluarga tidak membantah tetapi mereka tetap berasakan masanya belum tiba untuk Asfika melangsungkan perkahwinan.

“Suami memberi keyakinan kepada bapa yang perkahwinan ini langsung tidak mengganggu pengajian di universiti dan akan memastikan pelajaran saya dalam keadaan baik,” kata Asfika yang melangsungkan perkahwinan pada 10 Disember 2016 ketika berada di semester tiga UniKL Institut British Malaysia (UniKL IBM).

Menurut Asfika, sebelum melangsungkan perkahwinan mereka sudah membuat persetujuan bersama supaya membenarkan Asfika tinggal di kampus.

Ini bagi membolehkannya merasai suasana dan keseronokan bergelar pelajar sama seperti rakan-rakan yang lain dan dia hanya pulang ke rumah pada hujung minggu.

Ia turut dipersetujui Kamal Akram (Akram), apabila dia tidak mahu isterinya terlepas saat-saat manis sebagai pelajar.

Perkara inilah juga yang dijanjikan kepada ibu bapa Asfika ketika mula-mula meminta keluarga merestui perhubungan mereka.

“Jadi selepas berkahwin saya mengotakan janji untuk membenarkan isteri tinggal di kampus bersama rakan-rakannya.

“Menariknya ia bukan sesuatu yang membebankan atau mendatangkan masalah sebaliknya kami berdua merasai keindahan bercinta selepas berkahwin kerana tinggal berjauhan,” katanya.

Sepanjang dua tahun lebih bersama, apa yang membuatkan perkahwinan mereka tampak serasi tanpa diulit permasalahan besar disebabkan Akram meminta isterinya menganggap statusnya sebagai pekerja dan bukannya pelajar.

“Jadi apa yang kami lalui sama seperti pasangan bekerjaya yang lain. Apa yang membezakannya hanya dari segi peranan dan tanggungjawab serta perlu mengeluarkan duit sendiri bagi menanggung pengajian.

“Apabila Asfika sudah meletakkan statusnya begini, jurang di antara kami tidak terlalu besar kerana kami saling memahami tugas masing-masing,” katanya.

Menurut Asfika, dalam rumah tangga bergaduh dan merajuk itu perkara biasa namun ia tidaklah berlarutan sehingga mampu menggugat kebahagiaan.

Asfika yang masih berjiwa keanak-anakan tentunya mahukan perhatian lebih daripada suami manakala Akram lebih matang dalam membuat keputusan.

Sesuai peranan sebagai produser filem dan drama, sudah pasti banyak masa diluangkan di set penggambaran membuatkan dia lebih berdisiplin dan mementingkan masa.

“Disebabkan sibuk dan tiada masa bersama inilah menyebabkan ada rasa cemburu dan tidak berpuas hati. Namun ia dapat ‘dineutralkan’ selepas Akram memberikan penjelasan dan memujuk saya. Kami gunakan cuti hujung minggu untuk keluar makan dan berbincang mengenai masa depan,” kata Asfika.

Pernah mengalami keguguran pada usia kandungan lapan minggu, Asfika positif yang rezeki menimang cahaya mata belum tiba.

Walaupun dia pernah berhadapan rakan-rakan yang terpaksa menangguhkan pengajian kerana hamil, Asfika dan Akram tidak menjadikannya sebagai alasan untuk tidak menimang cahaya mata awal sebelum Asfika menamatkan pengajian.

“Rezeki itu Allah yang tentukan. Jika sudah diberikan zuriat, kami reda dan cuba merancang perjalanan keluarga dan pengajian sebaiknya.

“Tetapi saya tidak akan berhenti belajar kerana selepas mendapat ijazah sarjana muda kejuruteraan elektrik, kini saya mendalami pengajian ijazah sarjana dan berazam meneruskan ke peringkat doktor falsafah. Walaupun sudah berkahwin tetapi cita-cita menjadi pensyarah mesti ditunaikan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:10 AM