Oleh Siti Zarinah Sahib


MENGUMPUL pelbagai koleksi figura aksi seperti Art Attack, Gunpla, Star Wars dan Transformers sememangnya menjadi kegilaan Norul Salihin Norul Rizal, 17, yang juga pelajar Sekolah Menengah Perimbun, Cheras.

Mula meminati watak ini ketika berusia lima tahun selepas kali pertama menonton filem Transformers pada 2007. Sejak itu Norul Salihin atau mesra disapa Salihin tidak pernah ketinggalan mendapatkan figura aksi kegemarannya terutama watak dalam filem animasi itu.

“Selepas menonton Transformers, saya meminta ayah membelikan figura Bumblebee dan dia mendapatkannya untuk saya. Sejak itu saya mula mengumpul pelbagai jenis figura namun yang menjadi kegemaran adalah Star Wars dan Gunpla,” katanya.

Dorongan datang daripada ayahnya yang memberi pelbagai cerita animasi untuk ditonton ketika berusia enam tahun. Lama-kelamaan minat terhadap filem berkonsepkan dua dan tiga dimensi semakin bertambah.

“Saya lebih semangat untuk mengumpul kerana ayah turut membantu mendapatkan figura aksi menerusi jualan dalam talian, kumpulan pengumpul permainan dan pusat beli-belah yang banyak menjual koleksi Gundam.

“Ayah memang tidak pernah berkira mengenai harga, sekiranya mampu dia sanggup mendapatkannya untuk saya,” katanya.


TEKUN menghasilkan filem pendek animasi.

Antara watak yang menjadi kesayangan Salihin adalah Optimus Prime yang dibeli ketika berusia enam masih di Tadika. Figura ini tersimpan kemas di dalam rak bertutup bersama watak lain. Sejak kecil Salihin dididik untuk menghargai apa sahaja permainan tanpa mengira harga.

“Mahal atau murah tidak menjadi persoalan, kerana saya akan menjaganya dengan baik. Kebanyakan permainan sudah berusia 12 tahun lebih dan keadaannya masih baik dan utuh.

HASIL FILEM PENDEK

Menariknya pada usia masih muda, Salihin bukan sekadar menonton watak kegemarannya di kaca televisyen, sebaliknya melihat teknik animasi, pergerakan kamera dan kesan visual sebagai proses pembelajaran.

“Daripada situ saya belajar mengenai

pergerakan kamera dan bagaimana menghasilkan ‘stop motion’ atau filem pendek menggunakan figura ini sebagai pelakon,” katanya.

Ujar anak bongsu daripada tiga beradik ini, untuk menghasilkan filem pendek animasi bukanlah mudah kerana memerlukan kreativiti, minat dan fokus yang tinggi. Dia perlu mengambil video setiap pergerakan permainan yang ingin digunakan bersama gambar sesuai. Kemudian akan dimasukkan ke dalam aplikasi adobe after effects untuk dijadikan animasi.

“Setiap filem pendek bermula daripada latar cerita, penggambaran sehingga penghasilan animasi, saya lakukan sendiri. Ayah ajar berkaitan perkara asas dan selebihnya saya belajar menerusi YouTube,” katanya gembira.

Menjadikan pembuat filem pendek animasi Malaysia, Harris Loureiro dan Jordon Tseng dari Taiwan sebagai idola, ujar Salihin, kedua-duanya memiliki keistimewaan dan kepakaran tersendiri.


BUMBLEBEE watak pertama dibeli ayah ketika usia lima tahun

MAHU JADI PENGARAH FILEM ANIMASI

Walaupun ada berkata, mengumpul figura aksi memerlukan kos tinggi, bagi Salihin banyak faedah diperolehnya. Antaranya mengasah minda menjadi lebih kreatif dan mengelak melakukan perkara tidak berfaedah.

“Saya percaya kesihatan mental dan fizikal amat berkait rapat. Mental yang sihat secara automatik akan menyebabkan fizikal berada dalam keadaan cergas. Selain itu saya dapat mengasah bakat sejak awal mengenai teknik dalam animasi yang mencetuskan minat untuk berjaya dalam bidang ini suatu hari nanti,” katanya yang ingin bergelar pengarah animasi filem tiga dimensi.

Menurut bapanya, Norul Rizal Zakaria, anaknya memang minat menonton filem animasi sejak kecil. Berkongsi minat yang sama, dia memberikan galakan dengan membawanya menonton filem dan mencari figura aksi yang diminati Salihin.

“Setakat ini ia tidak mengganggu pelajarannya, malah saya juga ada rakan pengumpul koleksi yang sama. Jadi kami selalu bertukar-tukar fikiran dan mendapatkan figura aksi terbaru dengan cara yang mudah,” katanya.

Akuinya, dia bangga melihat pencapaian anaknya. Pada usia 17 tahun Salihin sudah mampu menghasilkan filem animasi sendiri menggunakan peralatan dan watak yang dikumpulnya selama ini. Lebih penting filem pendek itu adalah idea dan kreativiti sendiri tanpa belajar secara formal.

“Saya akan terus memberikan galakan agar cita-citanya bergelar pengarah dan animator terkenal Malaysia berjaya direalisasikan suatu hari nanti,” katanya mengakhiri perbualan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 September 2019 @ 5:20 AM
TURUT berbakat membuat rekaan kostum Infinity Gauntlet sendiri.