Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

KERJAYA tidak pernah memilih jantina. Tidak kira lelaki atau wanita, dunia kerjaya lasak dan berbahaya sebenarnya membuka lebih ruang untuk individu meneroka pengetahuan baru, sekali gus mengenal kemampuan diri sebenar.

Ini dibuktikan gadis bertubuh kecil, Nur Izzati Athirah Mohamad Yusoff, 22, apabila memecah dominasi sebagai jurukimpal dasar laut wanita pertama negara.

Menurut anak kelahiran Selama, Perak ini, dia mula terbabit dalam kerja kimpalan sejak mengikuti pengajian Diploma Kemahiran Vokasional dalam Teknologi Kimpalan dari Kolej Vokasional Taiping.

“Saya sebenarnya bercita-cita menjadi askar. Namun, disebabkan tidak cukup ketinggian, jadi terpaksalah impian itu dilupa. Kemudian, ketika belajar di kolej, ada ramai individu yang memperkenalkan saya dengan kerjaya sebagai jurukimpal dasar laut.

“Secara tidak langsung, saya mula mengenali Weldzone Training Centre (Weldzone) yang menjadi tempat kerja sekarang. Saya menonton video berkaitan kursus dan mula terfikir tidak salah untuk mencuba kerana memang sukakan aktiviti lasak dan mencabar,” katanya.

Rezeki berpihak pada Nur Izzati apabila dia terpilih sebagai salah seorang pelajar. Tamat pengajian, dia diserap masuk menjadi pembantu pengajar.

“Saya ditaja sepenuhnya oleh Weldzone. Peluang ini membuka jalan luas untuk saya mencabar diri, cuba melakukan sesuatu yang baru dalam hidup.

“Walaupun kerjaya ini dimonopoli lelaki, tetapi ia bukan alasan untuk meminggirkan kemampuan wanita. Bagi saya, kita perlu bangkit dan tunjukkan kepada lelaki bahawa wanita juga mampu menjadi jurukimpal dasar laut.

“Tidak dinafikan ramai wanita takut untuk mencuba kerana mereka fikir ia kerjaya untuk lelaki dan sangat mencabar. Pemikiran sebegini sepatutnya kita ubah supaya lebih ramai wanita tampil ke depan, menyerlahkan potensi diri,” katanya.


BERSIAP untuk latihan di dasar air.

TOLAK GUSAR

Jelasnya, tidak sukar menempatkan diri dalam kalangan jurukimpal lelaki kerana sudah terbiasa dengan keadaan itu sejak di kolej vokasional.

“Dulu, hanya saya seorang perempuan di dalam kelas. Jadi, tiada masalah untuk saya bekerja di tempat yang majoritinya lelaki. Lagipun, dari segi perwatakan, saya agak kasar dan sukakan cabaran.

“Kalau dulu, adalah sedikit rasa takut, tetapi saya lawan. Saya banyak perhatikan kawan lelaki sepanjang latihan. Mereka langsung tiada rasa takut sebaliknya teruja untuk mencuba. Dari situ saya dapat kekuatan dan keyakinan.

“Begitupun, saya tetap akan risau setiap kali turun melakukan kerja kimpalan di dasar laut. Keadaan di dasar laut lazimnya sukar dijangka. Air bergelora, arus deras dan suasana gelap mudah mengganggu penglihatan. Alhamdulillah, setakat ini tiada perkara buruk berlaku,” katanya.

Kata anak kedua daripada empat beradik ini, dia sentiasa komited melakukan kerja kimpalan di dasar laut, terutama jika khidmatnya diperlukan.


KERJA mengimpal di dalam air beri cabaran positif.

“Sepanjang di sini, saya belajar pelbagai teknik kimpalan dan pemotongan dalam air serta pencarian barang. Selain itu, saya juga mempunyai lesen komersial tahap I dan II, lesen pengajar skuba dan lesen kimpalan dalam air.

“Setakat ini, saya melakukan kerja kimpalan untuk kedalaman air antara tiga hingga lapan meter. Ibu bapa, keluarga dan kakitangan di pusat latihan banyak memberi dorongan dan inspirasi.

“Apapun, menjadi jurukimpal dasar laut wanita pertama di Malaysia saja sudah memenuhi cita-cita saya dalam bidang ini. Ia pencapaian tertinggi dalam hidup yang meninggalkan banyak pengalaman manis untuk dikenang pada masa akan datang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 September 2019 @ 5:15 AM
NUR Izzati jurukimpal dasar laut wanita pertama. FOTO & VIDEO: Effendy Rashid