BUSANA songket masih jadi pilihan generasi muda.
Aida Adilah Mat


SENTUHAN klasik ditambah dengan gaya moden yang digayakan oleh raja sehari pada hari persandingan akan meninggalkan kenangan terindah buat pasangan mempelai.

Justeru tidak hairan mengapa songket masih menjadi pilihan biarpun kini kita berada di era moden, nilai estetika tenunan benang emas dan perak menjadikan sentuhan sepasang busana pengantin itu memberi nilai eksklusif kepada si pemakai.

Padanan lama dan baru yang ditambah dengan fabrik dan renda menjadikan busana tradisional itu mengekalkan kedudukannya sebagai pilihan utama pasangan mempelai.

Pemilik D’crown Bridal Parit Buntar dan Bagan Serai, Zamri Md Noor berkata, keunikan dan perbezaan pada tenunan songket itu menambah nilai sentimental pada hari istimewa bergelar raja sehari.


REKAAN klasik dengan sentuhan moden tampil kelainan.

“Busana pengantin tidak lari daripada permainan manik dan renda serta jahitan manik yang berbeza di bahagian tertentu busana akan menambahkan keayuan pemakai. Malah ia juga akan menyerlahkan penampilannya yang membuatkan pengantin tampil istimewa.

“Oleh itu, kami cuba mereka setiap baju dengan perincian berbeza bagi memberikan nilai eksklusif buat pengantin supaya ia menjadi kenangan indah yang tidak dapat dilupakan sepanjang hayat,” katanya yang meneraju D’crown sejak 2015 hasil usaha sama bersama Kamalulruzi Abdul Satar dan Gimie Sarban.

Katanya, setiap bulan butik akan mengeluarkan rekaan terbaru berdasarkan trend terkini dan ada yang dibuat berdasarkan permintaan pelanggan.

Biarpun begitu, jika dirasakan permintaan pelanggan kurang sesuai dari segi warga dan reka coraknya, pihaknya akan memberi nasihat agar rekaan yang dipilih sesuai dengan trend terkini dan sesuai susuk bakal mempelai.

Tidak hanya terhad kepada warna gelap, padanan songket kini tampil dengan rona pastel, karang hidup dan mantap seperti biru gelap, merah bata dan ungu gelap menyerlahkan si pemakai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 September 2019 @ 5:00 AM