Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


USIA bukan penghalang untuk melakukan perkara luar biasa dalam hidup, bahkan ia membuka jalan luas buat Danish Hakime Hakime Faizal, 13, mengembangkan bakat yang ada padanya.

Mula berjinak-jinak dalam dunia seni lukis pada usia lapan tahun, bakat anak sulung daripada dua beradik ini mula disedari rakan ibunya yang juga pelukis.

“Ketika itu saya tidak terpilih sebagai pemenang kerana mencuba sekadar suka-suka. Selepas itu, baru mummy bantu dengan menghantar ke pelbagai bengkel melukis.

“Antaranya bengkel lukisan inspirasi dikendalikan pelukis Nuriman Amri Abd Manap, kelas melukis bersama kartunis Taugeh, ARTober Jamm dengan Elly Norsuria, pelukis grafiti dari Amerika Syarikat, Gabril Garay, kelas seni lukis akrilik atas kanvas dengan Jaja Yusof, bengkel bersama pelukis Mie Mambo dan kelas melukis komik di Rumah Kartun & Komik Malaysia.

“Pada awal pembabitan dalam seni, saya banyak fokus kepada lukisan kartun. Saya belajar membina karakter, menulis dalam tulisan komik susun atur jalan cerita,” katanya.


WATAK legenda dekat di hati.

Melihat perkembangan pelajar Sekolah Seni Malaysia Kuala Lumpur ini menerusi akaun Facebook dan Instagram miliknya, Danish bukan sekadar meminati seni, bahkan murah hati berkongsi bakat dengan mereka yang memerlukan.

“Ada banyak watak yang saya hasilkan sepanjang aktif melukis. Namun watak paling dekat di hati adalah Joker. Watak Joker pertama yang saya simpan sampai sekarang dilakar pada usia sembilan tahun. Kemudian, saya adaptasi lakaran sama dalam bentuk lukisan akrilik atas kanvas,” katanya.

Jelas Danish, keterujaannya mempelajari pelbagai cabang seni sejak kecil sentiasa mendapat sokongan ibu tercinta, Zarinatul Sheyliza Mohd Hanafiah.

“Selain kelas komik dan bengkel lukisan, mummy juga menghantar saya ke kelas melukis di atas skrin tablet. Dengan ilmu itu saya berjaya menghasilkan imej Joker yang sama,” katanya.

Menurut Danish, dia bangga kerana sudah memiliki lapan koleksi potret Joker berbeza. Setiap satunya diambil daripada watak yang ditonton dalam filem.

“Menariknya, setiap kali melukis Joker, saya jadi seronok dan teruja. Mungkin sebab perwatakan Joker itu sendiri, ia sedikit sebanyak memberi pengaruh pada diri.

“Tambahan melukis mudah membuatkan saya tenang. Saya banyak mengambil inspirasi dan semangat daripada bakat pelukis tersohor lain.

“Saya banyak memerhati keadaan sekeliling, mengikut perkembangan filem semasa dan mencuba pelbagai watak baru yang dirasakan menarik. Dari situ akan timbul banyak idea baru,” katanya.

BIMBING PESAKIT KANSER

Aktif mengikut pelbagai program, pameran dan ekspo, Danish sempat melakar kenangan indah apabila hasil lukisannya turut dibeli Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pada majlis pelancaran Serambi Karya, baru-baru ini.

“Biasanya saya akan buka gerai lukisan dan jualan di Pusat Pelancongan Malaysia (MaTiC). Pernah juga saya berada di Universiti Malaya (UM) untuk aktiviti sama dan berpeluang bertemu Sasterawan Negara, Datuk Seri Dr A Samad Said.

“Untuk mengajar pula, saya sebenarnya bermula dengan membimbing seorang kanak-kanak yang kebetulan hadir ke gerai untuk melihat lukisan.


KETIKA bertemu Dr A Samad Said.

“Saya beritahu mummy ada budak kecil yang nampak berminat pada lukisan. Jadi, mummy cadangkan supaya ajar dia melukis. Tidak sangka perkongsian di Facebook dan Instagram mendapat perhatian Institut Kanser Negara.

“Mereka mempelawa saya datang dan membimbing pesakit kanser untuk menghasilkan lukisan mini. Alhamdulillah ia berjalan lancar dan meninggalkan kenangan manis buat saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 28 September 2019 @ 5:30 AM
DANISH masih simpan lakaran Joker pertama pada usia sembilan tahun.