DIDI (tengah) bersama sebahagian peserta.
Yusliza Yakimir Abd Talib


IMEJ, keterampilan dan keyakinan diri haruslah menjadi fokus utama bagi mana-mana individu yang berminat menceburi bidang kosmetik atau kecantikan.

Menjadikan bidang kecantikan sebagai sumber pencarian, seseorang perlulah tahu sekurang-kurangnya asas merias diri sendiri agar tampil berkeyakinan dan menarik minat pelanggan untuk mencuba perkhidmatan disediakan.

Bagaimana mahu meyakinkan pelanggan dengan perkhidmatan ditawarkan, jika diri sendiri pun tidak terurus, malah tidak mahu berusaha melengkapkan diri dengan ilmu kecantikan.

Menyedari perlunya bimbingan dan galakan buat golongan ini, tiga perunding kecantikan spa mudah alih menganjurkan program Beauty and Glam bagi membantu pengusaha spa mudah alih untuk lebih berkeyakinan dan berketerampilan kala berdepan pelanggan.

Menurut perunding kecantikan Jom Facials Mobile Spa, Rasidah Salimon, program sehari itu bagi melengkapkan pengusaha dengan ilmu asas penjagaan diri daripada dalaman dan luaran agar tampil menarik dan meyakinkan.

“Kerjaya spa mudah alih ini kerjaya yang memerlukan seseorang itu sentiasa berdepan dengan pelanggan. Ditambah pula, ia membabitkan penjagaan wajah, sudah tentu pemilik spa sendiri harus mempunyai wajah dan keterampilan menarik.

“Oleh itu, cara bersolek, berpakaian, memakai tudung serta memilih aksesori yang tepat amat penting dan harus dititikberatkan. Inilah yang kami cuba bimbing menerusi program ini,” katanya ketika ditemui pada program itu di Plaza Jelutong, Shah Alam baru-baru ini.

PAKAIKAN tudung dan pinkan dengan sebelah tudung lebih panjang.

Rasidah berkata, sudah menjadi tanggungjawab mereka untuk memberi tunjuk ajar dan khidmat nasihat kepada ejen perunding kecantikan masing-masing.

Mengenai spa mudah alih katanya, ia perniagaan yang memberikan perkhidmatan penjagaan wajah, bukan saja untuk membersihkan muka, malah menyegarkan, melancarkan peredaran darah, menaikkan seri muka dan memperlahankan proses penuaan.

Ia memberi peluang kepada perunding kecantikan untuk memberikan khidmat kepada pelanggan di mana-mana saja.

“Objektif kami memberi fokus kepada wanita, sama ada yang berkerjaya atau tidak dengan membantu menambah pendapatan.

“Bidang ini bukan baru dan kebanyakan perniagaan boleh dilaksanakan perkhidmatan dari rumah ke rumah atau di spa masing-masing,” katanya.

Program itu katanya, turut mendapat kerjasama jurusolek terkenal, Nuex Rosli dan juga penata hijab, Didiyana Ehsan (Didi) menerusi sesi demonstrasi solekan dan pemakaian hijab.

Dalam pada itu, Nuex berkata, program seumpama itu amat berguna dalam membantu individu yang meminati bidang kecantikan untuk mempelajari cara merias diri.

“Hari ini saya berpeluang memberi tunjuk ajar kepada hampir 500 pengusaha spa mudah alih dengan memperkenalkan teknik solekan asas.

“Apabila bercakap mengenai alat solek ramai kata susah dan tidak sempat, tetapi dengan teknik yang betul serta produk bersesuaian semuanya akan menjadi lebih mudah,” katanya.

Menurutnya, rata-rata peserta adalah wanita yang sering berjumpa ramai orang, bukan kerana perniagaan semata-mata tetapi juga untuk membina hubungan baik dengan pelanggan.

Jadi katanya, banyak tip dan panduan yang diajar antaranya cara menggunakan bedak asas cecair dan bedak kompak dengan betul, memastikan solekan tahan lama dan cara ringkas merias wajah tanpa mengambil masa lama.

Dalam pada itu, beberapa penggayaan hijab turut ditampilkan dalam program berkenaan oleh Didiyana.

TUDUNG segi empat dilipat membentuk segi tiga.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Oktober 2019 @ 5:50 AM