DR SHERINA berucap mengenai pengangguran dalam kalangan pesakit kanser di FPSK, UPM.
Oleh Siti Zarinah Sahib


RAMAI pesakit kanser tertekan disebabkan kos rawatan tinggi dan kurang berpeluang kembali bekerja disebabkan sejarah kesihatan, kualiti kerja serta sering mengambil cuti untuk mendapatkan rawatan.

Disebabkan perkara ini ada majikan tidak mahu mengambil pesakit kanser sebagai kakitangan, tidak memberi cuti bergaji untuk mendapatkan rawatan dan paling malang apabila pesakit diminta berhenti secara sukarela.

Pakar Perunding Kanan Onkologi Klinikal, Dr Matin Mellor Abdullah berkata, rawatan untuk kanser sememangnya memerlukan tumpuan dan keupayaan bukan saja fizikal tetapi mental dan emosi. Ini kerana ia membabitkan ubat-ubatan, perjalanan ketika menerima rawatan dan pelbagai perkara yang tidak dirancang.

“Pesakit yang bekerja akan berhadapan masalah utama apabila perlu mengambil cuti sakit atau tanpa gaji untuk menjalani rawatan kemoterapi atau radioterapi. Mereka perlu bercuti panjang untuk menumpukan perhatian kepada rawatan. Paling menyedihkan apabila pesakit diberhentikan kerja selepas majikan mengetahui mereka menghidap kanser,” katanya.

Dalam hal ini, majikan perlu memberikan pertimbangan ke atas prosedur syarikat. Ini kerana secara teorinya pesakit memang memerlukan tempoh yang panjang untuk menyudahkan rawatan mereka.

Jika rawatan selesai sekalipun mereka masih memerlukan rehat bagi membolehkan tubuh pulih sepenuhnya akibat kesan rawatan.

Pendapat ini turut dipersetujui Timbalan Pengarah Pusat Sumber dan Pendidikan Kanser (CARE UPM), Prof Dr Sherina Mohd Sidik, yang menerima banyak aduan mengenai pesakit yang berhadapan masalah kewangan selepas disahkan menghidap kanser.

Dia yang ditemui pada Taklimat Kesedaran Pengangguran Pesakit Kanser di Fakulti Perubatan & Sains Kesihatan (FPSK), Universiti Putra Malaysia (UPM) hasil kerjasama Persatuan Pencegahan Kanser Cancerfly, Pusat Sumber & Pendidikan Kanser (CaRE, UPM) dan JobsMalaysia, baru-baru ini berkata, pesakit perlu bekerja bagi mengalih tumpuan daripada kesakitan sehingga berasakan diri mereka sihat.

“Malangnya pesakit ini diibaratkan sudah jatuh ditimpa tangga disebabkan kesukaran mendapatkan pekerjaan berikutan tiada majikan yang mahu mengambil mereka bekerja.

“Pada masa sama, sesetengah terapi dilalui menyebabkan sistem imun atau daya ketahanan badan menurun. Mereka juga perlu mengelak daripada berjumpa orang ramai yang mungkin membawa jangkitan. Jadi kebanyakan pesakit terpaksa mengambil cuti atau ada yang berhenti kerja,” katanya.

Kesan rawatan kanser juga boleh menyebabkan pergerakan fizikal, mental dan kognitif atau pemikiran pesakit terbatas yang secara tidak langsung menjadikan peluang pekerjaan turut terhad.

KONGSI PENGALAMAN

Berkongsi pengalaman sebagai bekas pesakit kanser darah atau limfoma bukan-Hodgkin, M Harikrishnan, 30, mengakui majikan masih ragu-ragu untuk mengambil bekas pesakit bekerja selepas melihat sejarah atau rekod kesihatan lampau.

“Saya lalui sendiri apabila tidak mendapat pekerjaan disebabkan menghidap kanser. Akibat tiada kerja, saya dipanggil untuk bercakap di persidangan perubatan dan berkongsi pengalaman melawan barah dan akhirnya diserap bekerja dalam Majlis Kanser Nasional (MAKNA) sebelum ditawarkan jawatan sebagai kaunselor di AirAsia,” katanya.

Disahkan menghidap kanser darah sejak Julai 2014,ketika masih bergelar pelajar, dia terpaksa bergelut dengan masalah kewangan selepas keluarganya berhabis duit mendapatkan rawatan di hospital.

Bagi Monaliza Mohd Salleh, biarpun disahkan menghidap kanser payudara dua tahun selepas berhenti kerja, dia sangat bersyukur kerana kanser menyebabkan masa yang ada digunakan sepenuhnya untuk beribadat dan meluangkan dengan anak tersayang.

Dia yang terpaksa menjalani pembedahan membuang payudara menegaskan penghidap kanser perlu menjalani kehidupan sama seperti orang lain.

Bagi menampung pendapatan bulanan Monaliza bekerja di sebuah kedai kek. Dia bersyukur kerana majikan memberinya cuti bergaji selama dua bulan bagi meneruskan rawatan.

“Sangat bersyukur walaupun majikan tahu saya menghidap kanser, dia tetap memberikan cuti bergaji. Memang saya juga mendengar cerita ada majikan meminta pesakit bercuti atau berhenti kerja. Ia sangat menyedihkan kerana ketika inilah pesakit sangat memerlukan sokongan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 5:10 AM