HANYA 20 hingga30 peratus wanita alami gejala hadapi fibroid.
Oleh Siti Zarinah Sahib


BIARPUN fibroid atau nama saintifiknya leiomyoma tidak diketahui puncanya, kebanyakan pakar perubatan sependapat ketumbuhan ini berlaku disebabkan ketidakseimbangan hormon wanita.

Inilah sebabnya wanita yang sukar memperoleh anak dan belum berkahwin mempunyai kebarangkalian tinggi mendapat fibroid berbanding mereka bergelar ibu.

Pendapat ini diberikan Pakar Perunding Obsetrik dan Ginekologi, Dr Fatimah Mustafah apabila ditanya mengenai punca fibroid.

Katanya, wanita mempunyai dua jenis hormon, iaitu estrogen dan progesteron. Kebiasaannya estrogen meningkat naik sejurus selepas haid dan paras progesteron pula meningkat selepas telur dikeluarkan, iaitu dua minggu selepas haid sehingga tempoh haid akan datang.

“Keadaan tidak seimbang apabila terlalu banyak estrogen dikeluarkan dan kurang progesteron dalam badan seseorang. Ia boleh menimbulkan pelbagai masalah seperti ketumbuhan fibroid pada rahim dan kesukaran memperoleh cahaya mata,” katanya.


DR FATIMAH

Teori ini jika dikaitkan dengan wanita yang belum hamil atau belum berkahwin ada kebenarannya kerana estrogen pada golongan ini sentiasa memberi rangsangan pada dinding rahim berbanding mereka yang pernah melahirkan cahaya mata.

Selain itu wujud kebimbangan dalam penggunaan produk kecantikan sama ada jamu, pil, minuman dan krim sapuan kerana dikhuatiri mengandungi estrogen untuk mencantikkan tubuh.

“Wanita didiagnosis mengalami fibroid dinasihatkan tidak mengambil produk tradisional yang menggunakan terma untuk cantik kerana dibimbangi mengandungi estrogen di dalamnya. Ini kerana kandungan produk ini akan membuatkan fibroid menjadi lebih teruk,” nasihatnya.

Selain itu ada beberapa situasi menyebabkan hormon estrogen meningkat iaitu kegemukan dan wanita yang mengalami masalah pembengkakan ovari seperti sindrom ovari polisistik (PCOS) yang menjurus kepada estrogen berlebihan

serta kekurangan hormon progesteron.


PEMBEDAHAN membuang fibroid juga disaran jika pendarahan haid terlalu banyak.

TAK SEMUA BAHAYA

Hampir 50 peratus wanita tidak tahu mereka mempunyai fibroid kerana tidak mengalami gejala atau tanda. Hanya 20 hingga 30 peratus yang mungkin mengalami gejala dihadapi, namun ia bergantung pada saiz, lokasi dan bilangan fibroid.

Menurut Dr Fatimah, fibroid boleh berlaku sama ada dalam bentuk satu biji besar atau beberapa biji kecil tetapi dalam bilangan yang banyak. Tidak semua fibroid berbahaya, bergantung kepada kedudukan dan saiznya.

“Wanita biasanya datang untuk masalah lain tetapi fibroid ditemui di kawasan rahim mereka. Lazimnya ia membesar secara perlahan-lahan dan tanpa simptom kecuali perubahan saiz perut yang semakin membesar,” katanya.

Katanya, fibroid boleh tumbuh sama ada di luar, tengah dan di dalam rahim yang memberikan gejala beza kepada penghidapnya.

“Jika saiznya kecil, ia melekat di dinding rahim sahaja, tetapi akan menyebabkan pengeluaran darah haid yang banyak. Ia juga menekan pundi kencing sehingga menyebabkan wanita kerap kencing atau tidak dapat mengawal kencing.

“Jika berada di belakang, ia menekan saluran usus dan mungkin memberi masalah untuk buang air besar atau sembelit,” katanya.

Namun wanita yang mengalami fibroid masih boleh mengandung kecuali jika ia tumbuh di bahagian servik, menutupi salur fallopio dan saiznya terlalu besar.

RAWATAN

Fibroid yang masih kecil dan tidak menimbulkan masalah atau mengganggu wanita tak perlu dibuang. Namun, pesakit perlu mendapatkan pemantauan doktor dalam tempoh empat ke enam bulan untuk melihat saiznya. Biasanya fibroid akan mengecil dan hilang selepas menopaus.

Namun jika saiznya semakin membesar sehingga menyebabkan perubahan fizikal seperti orang mengandung, doktor akan mencadangkan agar ia dibuang.

“Pembedahan membuang fibroid juga disaran jika pendarahan haid terlalu banyak sehingga pesakit memerlukan bekalan darah atau menyebabkan ketidakselesaan,” katanya.

Sekiranya pembedahan terpaksa dilakukan, doktor akan memastikan sama ada hanya fibroid dibuang atau membabitkan keseluruhan rahim. Bagi yang berusia 40 tahun ke atas dan fibroid semakin membesar, pembuangan rahim adalah jalan terbaik.

“Bagi pesakit yang berusia 46 tahun ke atas doktor akan mencadangkan pembuangan rahim dan ovari bagi mengelak masalah sama berulang. Namun, setiap pembedahan ada risiko dan komplikasi tertentu. Jadi pesakit dinasihatkan berbincang dengan doktor terlebih dahulu untuk menjalani sebarang rawatan,” ujarnya.

Dia menasihati wanita supaya prihatin dengan sebarang perbezaan pada tubuh mereka dan menjalani pemeriksaan berkala setiap tahun adalah cara terbaik untuk mengesan sebarang penyakit.

INFO SIMPTOM FIBROID

1. Haid yang tidak teratur atau berpanjangan

2.Sakit perut

3.Sakit ketika hubungan kelamin

4.Perut membuncit

5.Pendarahan abnormal

TIP GAYA HIDUPSIHAT

1. Amalkan buah-buahan dan sayur-sayuran segar.

2. Makanan berserat tinggi boleh membantu mengurangkan estrogen berlebihan dalam badan.

3.Kawalberat badan.

4. Tidak merokok atau tidak menjadi perokok pasif.

5. Elakkan penggunaan kosmetik,bahan pencuci, penggunaan plastik atau polisterin untuk makanan yang mempunyai sumber xenoestrogen.

6. Bersenam setiap hari.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Oktober 2019 @ 5:20 AM