SURI rumah puas setiap kali tuai hasil tanaman organik di kebun dapur.
Intan Mas Ayu Shahimi


MEMBELI sayur organik mungkin membebankan ekonomi keluarga. Namun, ramai yang sanggup membayar lebih kerana berasa ia lebih selamat dan yakin sayur berkenaan terhindar daripada penggunaan racun.

Bagi mereka yang bijak berbelanja dan tahu menguruskan masa, bercucuk tanam secara kecil-kecilkan di sekitar kawasan rumah atau balkoni boleh jadi pilihan terbaik untuk menghasilkan tanaman organik.

Mengambil contoh wanita muda dari Shah Alam ini, Noor Amira Azmi, 29, mengakui teruja dan seronok setiap kali menuai hasil kebun yang diusahakan sejak lebih setahun lalu.

“Sama seperti suri rumah lain, saya juga sibuk mengurus keperluan anak, mengemas, menyediakan juadah dan melakukan pelbagai kerja rutin setiap hari.

“Tetapi, kalau terlalu fokus menyiapkan kerja rumah, badan akan mudah jadi lesu dan penat. Jadi, untuk menggembirakan hati dan mengisi masa terluang, saya pilih aktiviti berkebun.

“Semangat berkebun memang diwarisi daripada mak dan abah. Mereka suka berkebun dari dulu. Lagipun, ketika kecil, saya rajin mengikut mereka berkebun,” katanya.

Menurut Noor Amira, setiap pagi selepas suami keluar bekerja dan anak ke sekolah, dia akan membelek tanaman, menyemai benih baharu, menyusun pokok dan membersihkan kebun.

“Saya akan siapkan kerja rumah secepat mungkin. Kemudian, masa lapang yang berbaki itulah saya habiskan untuk berkebun. Selain memberi ketenangan, berkebun juga membuatkan saya lebih sihat dan ceria.

“Kalau badan rasa tidak sihat, saya akan keluar melihat tanaman. Lama- kelamaan, sakit dan lesu akan berkurangan,” katanya.

Jelas Noor Amira, dia jadi semakin teruja untuk turun ke kebun setiap hari apabila anaknya ikut gembira melakukan kerja menyiram dan menanam bersama.

“Anak lelaki saya yang kini berusia tiga tahun sangat suka kalau diberi peluang menyiram pokok. Anak sulung pula suka menanam biji benih. Suami pula kerap membantu membersihkan semak samun pada cuti hujung minggu.

“Walaupun ruang untuk bercucuk tanam terhad, namun ia sudah cukup untuk membantu mengeluarkan peluh. Bayangkan, dalam tempoh setahun ini, saya sudah mula menanam untuk kegunaan dapur sendiri.

“Saya puas melihat cili, tomato, kucai, terung, asparagus, peria, timun, pandan, serai, keladi, daun sup, ulam raja, selom, selasih, cekur, pokok kantan, kesum dan pelbagai herba Inggeris hidup subur. Paling penting, semuanya adalah hasil tanaman bebas racun,” katanya.

Kata Noor Amira, selain memenuhi keperluan sendiri, dia juga kerap berkongsi hasil tanaman dengan rakan dan jiran. Lebih dari itu, dia turut berkongsi hasil tuaian dengan guru dari sekolah berdekatan.

“Bagi saya, berkebun ini tidak pernah rasa puas. Saya sentiasa mahu memperbaiki kelemahan diri. Ada masanya tanaman yang disemai dihinggapi kulat dan penyakit.

“Pernah juga satu ketika, pokok yang ditanam mati begitu saja. Tapi suami tidak pernah berhenti beri dorongan. Katanya, kegagalan akan mengajar kita lebih lagi. Jadi, sekarang saya lebih positif. Kalau ada pokok yang mati, saya akan tanam semula,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:00 AM