FARAH dan Davis menunjukkan hidangan masing-masing. FOTO: Rohanis Shukri
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi


GAYA hidup masyarakat sentiasa mengalami perubahan tidak kira dari sudut kerjaya, rutin mahupun pemakanan. Pelbagai trend baharu singgah saban tahun. Ada yang memberi pengaruh baik, tidak kurang juga membawa tekanan besar.

Tidak kira sepantas mana sekalipun masa berputar atau seberat mana komitmen terpaksa dipikul, rutin wajib tetap perlu diberi perhatian.

Perkara utama yang perlu diberi penekanan setiap kali sebelum keluar rumah adalah mengambil sarapan sihat. Jika ia diabaikan, tidak mustahil waktu makan lain turut ditangguh, sekali gus membawa tabiat makan kurang sihat pada sebelah malam.

Mission Foods baru-baru ini memperkenalkan cara mudah dan sihat untuk menyediakan hidangan ringkas di dapur. Anda tidak perlu menguli roti, memasak nasi atau merebus pasta untuk hidangan mengenyangkan.

Apa yang penting, ia sesuai untuk masyarakat moden di bandar yang sentiasa sibuk mengejar masa, namun masih ingin menjalani gaya hidup aktif dan sihat.

Tersedia dalam tiga variasi berbeza, Carb Reduced Wraps mengandungi 70 peratus kurang karbohidrat dan 90 peratus kurang gula berbanding kepingan tortilla biasa. Ia sesuai untuk sumber protein dan serat disamping mengurangkan pengambilan karbohidrat.

Quinoa Wraps dan Chia Wraps pula diperkaya dengan makanan super. Selain menjadi sumber protein dan serat, ia tinggi nutrien, antioksidan dan omega-3.

Ketika melancarkan produk baharu itu, Pengurus Jenama Mission Foods Asia Selatan, Randall Tan berkata, pihaknya komited menawarkan lebih banyak pilihan versatil, sesuai dengan keperluan dan cita rasa penduduk Asean.

“Kami berharap mampu memberi lebih inspirasi kepada masyarakat moden untuk melakukan perubahan rutin pengambilan makanan, sekali gus menjalani gaya hidup lebih sihat dan baik pada masa depan,” katanya.

Dua juara kebanggaan Malaysia iaitu atlet gimnastik wanita, Farah Ann dan atlet seni bela diri campuran Peter Davis dijemput menonjolkan kepakaran menghasilkan resipi sarapan kesukaan mereka menggunakan kepingan tortilla.

Melengkapkan kempen 'Breakfast of Champions' kedua-dua personaliti ini berkongsi hidangan kegemaran menggunakan rangkaian Healthy Wraps di platform media sosial.

Dalam pada itu, Davis berkata, sebagai pejuang MMA, dia harus sentiasa menjaga pemakanan memandangkan perlu kekal bertenaga.

“Untuk keperluan harian, saya perlu mengambil makanan rendah gula dan kaya dengan serat serta protein. Sebab itulah makanan super seperti quinoa dan chia memberi banyak manfaat kepada saya,” katanya.

INFO

SEA BED (PETER DAVIS)

- 2 keping Quinoa Wraps

- 300 gram udang (dibuang kulit)

- 1 zukini (dihiris halus)

- 2 sudu besar mentega

- 2 ulas bawang putih (dicincang)

- 1 cili padi (dihiris halus)

- 4 ulas buah zaitun (dihiris halus)

- 2 sudu besar minyak zaitun

- Lada hitam untuk perasa

Caranya

1. Panaskan minyak zaitun bersama mentega.

2. Tumis bawang pulih, cili padi dan udang dan masak dalam api sederhana selama tiga ke lima minit.

3. Panaskan tortilla.

4. Letak kepingan tortilla atas pinggan, tabur hirisan zukini, diikuti bahan yang ditumis, buah zaitun dan perasakan dengan serbuk lada hitam.

PARTY WRAP (Farah Ann)

- 1 keping Reduced Carb Wrap

- 180 gram ayam (dihiris)

- 1 sudu kecil serbuk cayenne

- 1/2 biji jus lemon

- 1/2 biji mangga (dihiris)

- 1 potong nanas (dihiris)

- 4 biji tomato ceri (dihiris)

- Sedikit kubis ungu (dicincang)

- 50 gram keju feta (dihiris)

- 1 sudu besar minyak zaitun

- Garam dan lada hitam secukup rasa

CARANYA

1. Perap ayam bersama serbuk cayenne, minyak zaitun, jus lemon, garam dan lada hitam dalam mangkuk. Biarkan dalam peti sejuk selama sejam.

2. Dalam kuali di atas api sederhana, tumis mangga dan nanas selama tiga minit dan ketepikan.

3. Dalam kuali berasingan, panaskan minyak zaitun dan goreng ayam sehingga masak.

4. Letak ayam yang dimasak dalam mangkuk dan gaulkan bersama mangga, nanas dan tomato ceri.

5. Panaskan kepingan tortilla dan letak semua bahan di atasnya.

6. Taburkan kubis dan keju feta sebelum dihidangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Oktober 2019 @ 5:15 AM