TIGA daripada lima sahabat tekad mengembangkan perniagaan berasaskan makanan.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


SIAPA kata golongan muda tidak boleh berjaya? Tidak kira usia, jantina mahupun status, sesiapa saja mampu melakar kejayaan diimpikan asalkan ada kesungguhan serta keazaman.

Pokok pangkalnya adalah usaha, jangan mudah berpuas hati dan paling utama tidak boleh separuh jalan, seperti yang dibuktikan sekumpulan usahawan muda ini.

Semangat mereka untuk bergelar usahawan memang mengagumkan. Mana tidaknya, dalam kesibukan harian, mereka sanggup berkorban masa dan tenaga demi mendapatkan kehidupan yang lebih baik dan terjamin terutama bagi memastikan perniagaan diusahakan berkembang maju.

Bagi Ahmad Barir Islah Che Ibrahim, Afizul Hasan Basri, Mohd Amanullah Mohd Nordin, Muhammad Azri Mohd Zain dan Mohd Faidzal Zaid, tiada istilah malas dalam kamus hidup mereka untuk memastikan kehidupan lebih terjamin.

Lebih membanggakan apabila perniagaan berasaskan makanan yang pada mulanya hanya dijalankan secara kecil-kecilan kini semakin berkembang dan turut dijual secara dalam talian juga mempunyai ejen dan stokis seluruh Malaysia.

Hakikatnya ia bukan perkara yang mudah apatah lagi perlu berdepan saingan daripada usahawan lain selain perlu menguruskan ejen dan stokis sebaik mungkin.

Ikuti soal jawab WM bersama seorang daripada anak muda itu dalam berkongsi suka duka sebagai usahawan makanan.

Soalan (S): Bagaimana permulaan perniagaan anda sebagai usahawan muda?

Jawapan (J): Desakan hidup masa kini memerlukan kos yang tinggi dan kami mahukan perniagaan yang boleh dijalankan dalam masa panjang.

Daripada situ, kami melihat ada peluang yang boleh diterokai dalam perniagaan berasaskan makanan. Kami melakukan kajian dan analisis mengenai permintaan ramai serta persaingan, akhirnya kami mengeluarkan produk sulung iaitu kerepek Teega Crispy Snack.

S: Mengapa memilih produk berasaskan makanan?

J: Selepas melakukan pemerhatian dan kajian beberapa bulan, kami dapati makanan antara barang yang mudah dijual kerana sentiasa ada permintaan. Daripada situ kami tekad untuk mendapatkan rasa terbaik melalui beberapa sisi percubaan. Atas percubaan itu, akhirnya kami berjaya mendapatkan rasa terbaik dan mula mengeluarkan produk pertama tahun lalu.

S: Apa dugaan yang perlu ditempuh sebagai usahawan muda?

J: Disebabkan produk ini pada awalnya disediakan sendiri sepenuhnya, pernah beberapa kali kami mengalami masalah untuk menyiapkan tempahan. Jadi kami belajar perbaiki cara kerja dari semasa ke semasa.

S: Apakah kelebihan jenama anda?

J: Semua produk dijual pada harga RM10 hingga RM20. Inilah kekuatan kami. Kami yakin ia menepati cita rasa masyarakat Malaysia yang sukakan kudapan.

S: Apakah perancangan masa depan?

J: Seperti usahawan lain, kami harap perniagaan ini berkembang maju. Kami juga berusaha mempelbagaikan produk jualan bagi memenuhi permintaan semua peringkat usia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:00 AM