PELAJAR mengikuti tunjuk ajar diberikan guru mengenai rawatan wajah.
Oleh Siti Nadirah Hafidzin


KETIKA remaja lain berbangga mengikuti aliran Sains Tulen mahupun Perakaunan di tingkatan empat, sekumpulan pelajar ini tidak malu memilih bidang kemahiran dan vokasional dalam bidang kecantikan untuk meneruskan pelajaran.

Bukan menidakkan kepentingan akademik, namun atas faktor minat selain menyedari kemampuan diri, kumpulan gadis cilik di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Perempuan Raja Zarina, Pelabuhan Klang, Selangor ini tekad berusaha sebaik mungkin dalam tempoh dua tahun pembelajaran itu.

Lebih menarik, kumpulan pelajar terbabit tidak perlu bersusah payah menyambung aliran itu di sekolah atau tempat lain kerana SMK Perempuan Raja Zarina turut menyediakan sebuah pusat kecantikan yang dilengkapi semua kemudahan diperlukan.

Menurut Nur Farihah Madihah Mazlan, 16, dia sangat meminati dunia kecantikan dan memasang cita-cita untuk berkecimpung dalam bidang itu apabila tamat pengajian kelak.

“Apabila tamat Peperiksaan Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) tahun lalu dan selepas menerima keputusan, saya suarakan hasrat untuk mengikuti bidang ini kepada ibu bapa.

“Selepas mendengar penjelasan mengenai minat dan kemampuan diri saya, ibu bapa saya bersetuju,” katanya.

Nur Farihah Madihah berkata, dia juga gembira kerana ketua bidang yang juga guru pembimbing jurusan itu sangat berkaliber dan sentiasa bersedia membantu dia dan rakan-rakan untuk lebih memahami bidang itu.

“Kami diajar rawatan asas wajah termasuk membersihkan wajah menggunakan mesin, rawatan kuku dan rambut.

"Tentu saja saya teruja dan bersemangat mengikuti setiap tunjuk ajar guru. Saya mahu menjadi juruterapi kecantikan yang mahir,” ujarnya.

Tambahnya, ada juga pelajar lain bertanya adakah dia tidak malu kerana mengikuti pembelajaran dalam bidang itu kerana seolah-olah tidak berminat untuk belajar.

“Mengapa saya perlu malu kerana ini juga adalah ilmu. Tidak semua individu dilahirkan dengan minat dan tahap kebijaksanaan yang sama.

“Saya mahu buktikan bidang yang saya ikuti ini boleh memberi pulangan yang baik apabila bekerja nanti,” katanya.

BERBANGGA DENGAN KEMAMPUAN DIRI

Guru pembimbing Nik Rafizan Nik Mohamad Azmy berkata, SMK Perempuan Raja Zarina adalah satu-satunya sekolah menengah di Klang yang menawarkan kos pendidikan vokasional menengah atas dalam bidang seni kecantikan.

“Walaupun ini adalah bidang kemahiran, namun tidak ramai pelajar yang berminat walhal bidang ini turut mempunyai masa depan yang cerah. Kami ingin memastikan pelajar ini tidak ketinggalan dan mempunyai kemahiran sesuai dengan minat serta kebolehan mereka walaupun dengan keputusan akademik yang kurang cemerlang.

“Tempoh latihan yang diambil pelajar selama dua tahun dengan waktu pembelajaran di sekolah dan industri juga fleksibel,” katanya.

Katanya, dia juga berharap persepsi ibu bapa dan masyarakat mengenai pelajar yang mengikuti jurusan itu dapat diubah memandangkan ramai yang seolah-olah memandang rendah pada pelajar terbabit.

“Usah bimbang soal masa depan kerana dunia kecantikan ini sentiasa mendapat tempat dalam masyarakat. Apa yang penting adalah belajar kemahiran dulu. Saya melihat bidang ini menawarkan masa depan yang terjamin kerana mereka menerima sijil yang diiktiraf apabila tamat kursus.

“Saya sering mengingatkan pelajar supaya fokus dan bersungguh-sungguh dalam mendalami kemahiran ini kerana tidak semua remaja mahu dan mampu melakukannya,” ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Oktober 2019 @ 5:10 AM