NISA harum nama negara apabila terima Anugerah Usahawan Wanita Asean 2019.
Oleh Yusliza Yakimir Abd Talib

Figura ini bukanlah asing dalam industri masakan tanah air, malah namanya juga dikenali di negara seberang mahupun antarabangsa kerana kebolehannya memasak pelbagai juadah tradisi.

Bermula sekadar hobi, wanita ini menjadikan aktiviti itu sebagai pengerat kasih dengan menjamu masakan air tangannya kepada rakan dan keluarga.

Puan Sri Shariffa Nisa Syed Hamid atau lebih mesra dipanggil Nisa Bakri memegang prinsip makanan yang dimasak dengan penuh kasih sayang dan ikhlas itulah yang menghubungkan sesama manusia selain menyembuhkan luka kepahitan hidup.

Hobinya itu turut membuka ruang untuk wanita ini terbabit dalam kerja amal dengan memulakan program Wakaf Ramadan Food Mission empat tahun lalu bagi menyediakan perkhidmatan membekal makanan kepada golongan yang kurang bernasib baik.

Lebih manis, program itu dilaksanakan bersama beberapa rakan baiknya dengan menjelajah ke merata kawasan untuk mendekati dan menyantuni keluarga miskin yang masih berlangsung sehingga ke hari ini.

Walaupun memberi makanan percuma, prinsip Nisa hanya satu iaitu memasak makanan dengan penuh kasih sayang dan ikhlas kerana ia menghubungkan jiwa sesama manusia selain memberi kepuasan buat dirinya sendiri.

Nisa yang juga usahawan perencah segera dan penulis buku ‘I Am Not A Chef’ meluahkan rasa syukur kerana menerusi masakan, dia mampu berkongsi rezeki dengan semua lapisan masyarakat.

Terima anugerah

Sumbangannya itu turut mendapat perhatian apabila dijemput menghadiri Persidangan Wanita ASEAN dan Majlis Anugerah 2019 (AWEN 2019) di Bangkok, Thailand, baru-baru ini dan terpilih menerima Anugerah Usahawan Wanita Asean 2019 bagi meraikan pencapaian wanita luar biasa dalam perusahaan mikro, kecil, sederhana dan besar dari setiap negara anggota Asean.

Anugerah anjuran AWEN itu diberikan berdasarkan komitmen, visi dan kepemimpinan mereka yang memberi impak luar biasa kepada masyarakat.

“Saya berharap anugerah ini dapat memberi inspirasi, motivasi dan menjadi penyumbang besar kepada semua rakyat Malaysia dan seluruh dunia.

“Harapnya usaha saya ini dapat memberi manfaat kepada semua wanita, ibu, nenek, anak dan remaja dalam setiap aspek kehidupan mereka.

“Saya juga berharap menjadi ibu kepada semua orang di dunia ini,” katanya yang terpilih dalam kalangan sembilan lagi usahawan wanita dari Malaysia.

Mengulas lanjut, Nisa mengakui dia seorang yang tidak betah duduk diam di rumah, malah meskipun sudah bergelar nenek, dia mahu melakukan sesuatu yang memberi manfaat kepada orang lain.

Baginya, status dan umur seharusnya tidak menjadi penghalang untuk bergerak aktif dan jangan hanya duduk di rumah menunggu suami pulang.

Katanya, walaupun wanita tidak bekerja dan menjadi suri rumah, manfaatkan kebolehan serta kelebihan diri untuk membuat sesuatu yang mendatangkan manfaat kepada diri sendiri dan keluarga.

“Setiap wanita yang dilahirkan adalah luar biasa dan ada kelebihan tersendiri. Jangan bandingkan diri kita dengan lelaki kerana masing-masing saling melengkapi.

“Selepas ini, saya ingin membantu usahawan wanita menguasai era digital agar mereka celik ilmu bagi memasarkan produk mereka secara meluas.

“Usahawan wanita kena akui perniagaan dalam talian semakin popular dan senario sudah berubah. Bisnes dalam talian boleh membawa produk ke pentas dunia walaupun seorang wanita hanya pandai membuat kraftangan mahupun memasak di rumah,” katanya.

Tahun lalu, wanita ini sekali lagi mengharumkan nama Malaysia apabila mementaskan keunikan air tangannya di kota fesyen dunia terkenal dunia, London.

Pada Minggu Fesyen London 2018, Nisa diberi kesempatan menghidangkan pelbagai masakan Malaysia asli dan unik kepada semua hadirin yang terdiri daripada golongan atasan pada acara fesyen berprestij itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 Oktober 2019 @ 5:10 AM