MUDAH digayakan dan tidak jarang antara ciri yang jadi keutamaan.
Oleh Aida Adilah Mat


CUACA panas di negara ini memberi inspirasi kepada Fatimah Shamsuri untuk mengasaskan Tymm Scarf.

Mendapat ilham dengan gaya moden, jenama ini mampu membangkitkan keyakinan wanita untuk tampil lebih berkeyakinan mengetengahkan pelbagai gaya, di samping menyerlah ketrampilan wanita berkerjaya.

Bagaimanapun buat ketika ini, pihaknya hanya memperkenalkan dua jenis fabrik iaitu satin dan sifon. Maklum balas yang memberangsangkan daripada pelanggan mendorongnya untuk membesarkan jenamanya itu agar dapat memberi lebih banyak pilihan kepada semua peringkat umur.

Menurut Fatimah, koleksi pertama satin didatangkan dalam beraneka pilihan warna agar dapat menambah gaya anggun pada pakaian.

Fabrik sifon pula dipilih kerana lebih ringan dan fleksibel untuk memberi pemakai bayangan yang sempurna dalam pergerakan seharian.

“Saya amat menitikberatkan kualiti tudung agar bersesuaian dengan cuaca panas di negara kini. Fabrik yang digunakan diimport daripada Korea Selatan.

“Selain kualiti fabrik yang lembut dan ringan, ia juga tidak jarang serta sesuai digayakan khasnya Muslimah yang menitik beratkan soal penjagaan aurat, tetapi masih boleh bergaya dengan selesa,” katanya.

Menariknya, fabrik satin dan sifon yang digunakan hanya perlu diseterika sedikit dan boleh dipakai pada bila-bila masa, membolehkan si manis tampil bergaya walaupun sibuk dengan aktiviti harian mereka.


FABRIK satin, sifon hanya perlu diseterika sedikit dan boleh dipakai pada bila-bila masa.

Bagi peminat satin boleh memilih Premium Satin Matte Eyelash yang didatangkan dengan 14 warna dengan panjang 180 sentimeter diinspirasikan untuk golongan muda remaja yang mahukan gaya versatil dan pantas bersiap.

Koleksi Shawl pula mempunyai 11 warna, manakala bawal satin Matte dengan tujuh warna menarik diharapkan dapat memenuhi kehendak pelanggan yang mencari tudung selesa, terletak cantik apabila dipakai dan paling penting tidak jarang bagi menjaga aurat.

Ia didatangkan khas dengan kualiti premium untuk wanita yang berkerjaya dan mementingkan penampilan mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 Oktober 2019 @ 5:15 AM