DR Goh (dua dari kiri), Dr Azhar (tiga dari kiri) dan Kim ketika membincangkan mengenai topik pendidikan awal kanak-kanak dalam Persidangan Literasi Awal Malaysia (MELIC) 2019.
Oleh Siti Zarinah Sahib


APABILA memperkatakan mengenai pendidikan awal kanak-kanak, banyak perkara yang menjadi topik perbincangan. Kerancakan perkembangan taska dan tadika yang memperkenalkan pelbagai konsep harus disambut baik agar pendidikan awal dapat dipertingkatkan seiring keperluan semasa.

Dekan Fakulti Pendidikan dan Kemanusiaan Profesor Dr Azhar Md Adnan, yang berucap ketika pembentangan dalam Persidangan Literasi Awal Malaysia (MELIC) 2019, anjuran Genius Aulad mengenai topik ‘Taska, Tadika, Pusat Perkembangan Minda, Apa Selepas Ini’ memberikan gambaran kepelbagaian taska dan tadika di Malaysia sebenarnya bertujuan memenuhi fungsi dan peranan setiap golongan masyarakat.

“Sebagai contoh Tadika Kemas, Perpaduan, Pasti dan pelbagai tadika swasta yang beroperasi sudah semestinya memenuhi keperluan keluarga sesuai pendapatan serta kehendak mereka.

“Namun apa yang perlu diberikan penekanan adalah polisi sebenar bagaimana kurikulum ini dapat diberikan kepada kanak-kanak. Inilah yang perlu dibincangkan semula supaya ada garis panduan mengenai penubuhan setiap tadika agar selari dengan kehendak Kementerian Pendidikan,” katanya.

Pendapat sama turut dipersetujui Pengasas Bibs, Datin Kim Arif Nun, yang menjelaskan kepelbagaian sistem yang diperkenalkan dalam pengendalian tadika dan taska akan memberikan keputusan berbeza.

Namun, ibu bapa harus sedar bahawa setiap kanak-kanak mempunyai personaliti berbeza. Justeru apa juga pendidikan yang cuba diperkenalkan harus mengambil kira kebolehan si kecil dengan tidak mengetepikan sifat semula jadi mereka.

“Pada masa sekarang, kebanyakan ibu bapa mengharapkan anak-anak mampu menguasai pembelajaran di tadika agar mereka tidak ketinggalan apabila melangkah ke sekolah rendah.

“Namun sebenarnya menyediakan pendidikan awal kanak-kanak bukan setakat memastikan anak boleh membaca dan mengira sahaja, sebaliknya mesti mengikut arus peredaran semasa yang sentiasa berkembang cepat. Kanak-kanak seharusnya bijak untuk saling berhubung dengan dunia luar dan menguasainya,” katanya.

Bagi Ketua Pegawai Eksekutif REAL Kids Dr Goh Chee Leong, sistem pendidikan harus bergerak seiring dengan kemajuan teknologi. Misalnya persediaan yang perlu ada bagi memenuhi keperluan perindustrian Malaysia yang sedang menuju kepada industri 4.0 dan 5.0.

“Adakah sistem pendidikan kita sudah bersedia melahirkan pelajar untuk lebih berdaya saing dalam teknologi. Adakah kita sudah menyediakan kemahiran untuk pelajar membuat analisis sendiri. Kita harus sama-sama memikirkan cara untuk menyediakan anak-anak kecil dengan pelbagai kemahiran termasuk bersosial, emosi dan spiritual,” katanya.

Namun apa juga sistem pendidikan yang cuba diperkenalkan, bagi Dr Goh, paling utama ialah memberi tumpuan supaya tidak mendewasakan kanak-kanak dengan sistem dan peraturan yang lebih tinggi sehingga mengabaikan sifat semula jadi mereka.

“Biarkan kanak-kanak menjadi kanak-kanak dan membesar mengikut kapasiti usia mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:00 AM