SITI Hawa (tiga dari kiri) dan Nantha (kanan) menyerahkan replika cek bernilai RM135,353.27 kepada Izza (tengah).
Oleh Hamizah Badiran


TABUNG Hulurkan Harapan Procter & Gamble (P&G) Malaysia dan Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin) yang dilaksanakan di bawah program Ibu Nakhoda Hidup 2019 berjaya mengumpul RM135,353.27 untuk menyokong usahawan wanita bergelar ibu di seluruh negara.

Melalui dana itu, lima tokoh Ibu Nakhoda Hidup 2019 akan mendapat bantuan berbentuk baucar tunai RM7,000 dan

barangan lain seperti peralatan memasak, gajet mahupun kemahiran yang diperlukan bagi menambah baik serta mengembangkan perniagaan mereka.

Pengarah Eksekutif Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN;girls), Izza Izelan berkata, setiap lima sen daripada pembelian produk P&G bernilai RM10 di Mydin sejak Mac hingga Jun lalu disalurkan ke Tabung Hulurkan Harapan.

Katanya, dari situ mereka berjaya mengumpul dana untuk membantu lima ibu bertuah itu nanti.

“Bagi tahun ini, 407 penyertaan Ibu Nakhoda diterima dan kami masih dalam proses pemilihan lima yang benar-benar layak untuk menyertai alumni Ibu Nakhoda tahun terdahulu.

“Jumlah penyertaan itu juga menyaksikan peningkatan 35 peratus berbanding 2018 apabila ia membuktikan program sebegini amat diperlukan apatah lagi kami amat menyokong usaha wanita yang mahu menceburi bidang perniagaan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Penutupan Ibu Nakhoda 2019

di Mydin Subang Jaya, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Mydin, Datin Wira Dr Siti Hawa Mohd; Pengarah Komersil P&G Malaysia, Nantha Kumaran Kalimuthu; Pengurus Akaun Utama P&G Malaysia, Lee Yuen Khea dan Pengurus Jualan Kebangsaan P&G Malaysia, Goh Kok How.

Siti Hawa berkata, program keusahawanan Ibu Nakhoda Hidup usaha sama Mydin, P&G Malaysia dan WOMEN:girls ini terus memberikan sokongan dan dorongan kepada ibu usahawan di seluruh Malaysia.

“Program ini memasuki tahun kelima penganjurannya dan Mydin amat teruja apabila secara tidak langsung dapat menubuhkan satu rangkaian terdiri daripada wanita yang bergelar ibu usahawan yang saling menyokong mahupun memberi inspirasi di antara satu sama lain.

“Paling penting, mereka juga dapat saling mempertingkatkan ilmu, bertukar pandangan dan memotivasikan diri supaya perniagaan kecil dan sederhana (IKS) yang dimiliki boleh menjadi lebih gah pada masa akan datang,” katanya.

Sementara itu, Nantha Kumaran pula berkata, program sebegini penting terutama untuk mengiktiraf peranan ibu yang bergelar usahawan dalam membantu meningkatkan ekonomi keluarga.

Program Ibu Nakhoda Hidup juga melalui siri jelajah ke-10 lokasi Mydin sekitar Malaysia termasuk Subang Jaya (Selangor), Meru Raya dan Parit Buntar (Perak), Senawang (Negeri Sembilan), Gong Badak (Terengganu), MITC (Melaka), Taman Batik (Kedah), Bukit Mertajam (Pulau Pinang), Vista Tunku (Sarawak) dan Mutiara Rini (Johor Bharu).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Oktober 2019 @ 5:15 AM