Oleh Siti Nadirah Hafidzin


LAZAT dan mudah. Dua elemen yang sangat dititikberatkan dalam memilih resipi untuk dijadikan hidangan seisi keluarga.

Mana tidaknya, kekangan masa di tempat kerja mahupun di rumah sering menjadi halangan besar kepada wanita untuk ‘beraksi’ lebih lama di dapur.

Jadi, ramai memilih menyediakan hidangan yang tidak rumit tetapi mampu membangkitkan selera semua termasuk kanak-kanak.

Jika 10 tahun lalu, hidangan udang mentega berkrim biasanya hanya dinikmati di restoran makanan laut, hotel lima bintang atau di kedai makan besar, namun seiring peredaran masa, menu itu mampu disediakan sesiapa saja.

Tidak perlu mencari bahan yang rumit, hidangan itu bukan saja mudah disediakan, malah sangat lazat dan sesuai dimakan bersama nasi panas.

Berkongsi resipi mudah menyediakan udang mentega berkrim, cef Hotel Four Points by Sheraton Puchong, Cef Lai Jian Wei berkata, penyediaan resipi itu amat ringkas, namun mesti menggunakan udang segar untuk merasai kemanisannya.

“Dalam tempoh 10 minit, menu ini dapat disediakan semudah A, B dan C kerana tidak memerlukan langkah rumit.

“Jika sukakan pedas boleh tambah cili padi. Jika sukakan sedikit manis boleh juga tambah gula. Resipi ini boleh diubah suai mengikut cita rasa masing-masing,” katanya.

Tambahnya, selain itu, diingatkan untuk masak dengan sedikit pantas terutama ketika proses penyediaan kuah udang.

“Apabila minyak sudah panas, segera masukkan semua bahan mengikut urutan dan jangan berhenti kacau.

“Hidangan ini lazat dimakan ketika panas bukan saja dijadikan hidangan lauk, malah boleh dimakan begitu saja,” ujarnya.

BAHAN-BAHAN:

- 500 gram udang

- 3 biji cili padi, dipotong halus

- 2 batang serai, diracik

- 2 sudu gula

- 2 atau 3 sudu mentega

- 1 cawan susu cair

- Sedikit tepung jagung

- Sedikit garam


1. GORENG udang kira-kira dua minit. Pastikan minyak sudah panas bagi memastikan udang tidak lembik. Jangan goreng terlalu lama bagi mengelak udang menjadi keras.

3. MASUKKAN daun kari, cili padi dan serai.

4. APABILA bahan yang dimasukkan kelihatan sudah lembut, masukkan pula susu cair dan perlahankan api. 5. AKHIR sekali masukkan sedikit garam, gula dan tepung jagung kemudian masukkan udang yang sudah ditoskan dan kacau rata

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 11 Oktober 2019 @ 5:15 AM
HIDANGAN udang mentega berkrim mudah disediakan, tanpa langkah rumit.